Sabhi Saddi Hadapi Masalah Buang Pelat Sabah

Diterbitkan: Isnin, 6 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Sabhi mengakui terpaksa mengambil masa untuk menghilangkan pelat Sabah supaya lakonannya tidak kelihatan janggal oleh penonton.
Sabhi mengakui terpaksa mengambil masa untuk menghilangkan pelat Sabah supaya lakonannya tidak kelihatan janggal oleh penonton.

PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Sabhi Saddi sukar untuk membuang pelat Sabah sehingga menyebabkan dia menghadapi kesukaran ketika menjayakan sesuatu watak dalam telefilem atau drama bersiri lakonannya.

Sabhi, 30, yang berasal dari Sandakan, Sabah berkata, dia terpaksa mengambil masa untuk mengubah cara berkomunikasi supaya lakonannya tidak kelihatan janggal oleh penonton.

"Hendak buang pelat Sabah memang satu cabaran dan halangan terbesar saya kerana telah terbiasa dengan cara bercakap ketika di kampung dahulu.

"Sampai kadang-kadang saya berasa amat sukar ketika berada di set kerana masih tidak dapat menyebut perkataan tertentu dengan betul tanpa ada bunyi pelat Sabah," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Sabhi bakal muncul dengan drama bersiri terbaharunya berjudul Aku Ada Wali di samping Siti Saleha, Zahiril Adzim, Aida Jebat dan Zoey Rahman.

Ia bakal disiarkan di TV Al-Hijrah bermula 14 Januari depan pada setiap hari Selasa pukul 10 malam.

Bapa kepada seorang cahaya mata itu turut menyanyikan lagu runut bunyi drama 13 episod itu berjudul Cinta Sesungguhnya.

Dalam perkembangan sama, Sabhi berkata, masalah itu bagaimanapun semakin berkurangan selepas dia banyak menerima tunjuk ajar daripada pengarah dan rakan pelakon.

Kata Sabhi, dia menjadi seorang yang banyak bercakap ketika berada di set penggambaran bagi membiasakan dirinya untuk bercakap gaya normal.

"Banyak bercakap adalah cara saya memperbaiki sebutan dan hilangkan pelat yang ada dan Alhamdulillah ia semakin baik dengan sokongan pengarah dan rakan pelakon," katanya yang sudah membintangi enam buah drama sepanjang 2013.

Tambah Sabhi, dia sendiri tidak menyangka mempunyai bakat dalam bidang lakonan namun kepercayaan diberikan oleh produksi digalas dengan baik dan semakin selesa bergelar pelakon.

"Banyak perkara yang saya belajar sejak bergelar pelakon dan ia adalah pengalaman berharga buat diri saya sebagai seorang anak seni," jelasnya.

Sementara itu kata Sabhi, tahun ini dia ingin memberikan fokus kepada bidang nyanyian dan mengehadkan aktiviti lakonan untuk enam bulan pertama 2014.

Sabhi juga berharap, populariti Aku Ada Wali akan memberi tempias kepada lagu nyanyiannya untuk drama itu dan menaikkan semula namanya sebagai penyanyi.

"Bukan sudah tidak mahu berlakon tapi ingin beri fokus kepada nyanyian pula kerana dari situlah saya mula dikenali. Pelbagai perancangan juga telah disusun untuk mempromosikan lagu itu," katanya.

Selain Aku Ada Wali, Sabhi pernah muncul dalam beberapa buah drama seperti Lalong, Antara Cinta Laut China Selatan dan Walau Air Mata Darah.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan