Astro Perkenalkan Pula 'Oh My English-Hello America'

Diterbitkan: Selasa, 24 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Barisan pelakon 'Oh My English!-Hello America'.
Barisan pelakon 'Oh My English!-Hello America'.

KUALA LUMPUR: Selepas telefilem Oh My Ganu mendapat sambutan, drama bersiri bercorak pendidikan Oh My English! tampil dengan sebuah lagi telefilem yang lebih istimewa iaitu Oh My English!- Hello America yang akan bersiaran pada 15 Januari depan, pukul 9 malam di Astro TVIQ.

Naib Presiden Bahagian GenNext Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin berkata, Oh My ganu-Hello America akan membawa penonton menyusuri pengembaraan mempelajari bahasa Inggeris dan budaya masyarakat di Amerika Syarikat.

"Kita lihat sambutan Oh My Ganu mendapat sambutan amat menggalakkan dengan meraih sebanyak 1.1 juta tontonan pada hari siaran perdananya dan berada di kedudukan nombor satu trend topik di laman Twitter di Malaysia.

"Kali ini pula kita akan ke Amerika Syarikat dan melihat sambil belajar penggunaan bahasa Inggeris dengan cara yang betul di negara berkenaan," katanya pada sidang media Oh My English!- Hello America, di Hotel Hilton, di sini, Isnin.

Antara pelakon yang menjayakan telefilem ini ialah Aaron Aziz, Zain Saidin, Tiz Zaqyah, Harun Salim Bachik dan Izara Aishah.

Tambah Putri, penggambaran selama enam hari di negara tersebut juga mendapat tajaan dan kerjasama daripada kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia.

Sementara itu, pelakon, Izara Aishah mengakui cabaran utama sepanjang penggambaran adalah berhadapan dengan cuaca sejuk.

"Penggambaran dilakukan pada November lalu di mana cuaca terlalu sejuk, sedangkan kami diberitahu cuaca tidak begitu sejuk dan membawa baju yang tipis.

"Bila cuaca sejuk penggambaran agak terganggu dan kita pula rasa cepat marah kerana ingin semuanya dibuat dengan pantas," katanya.

Bagaimanapun, kata Izara, ia merupakan pengalaman pertamanya berlakon di negara itu.

Telefilem ini berkisar tentang pengalaman pelajar Sekolah Menengah Ayer Dalam yang berjaya memenangi pertandingan filem pendek dan mendapat pakej lawatan ke Amerika Syarikat.

Pengembaraan bersama guru-guru sekolah itu membawa mereka ke tempat-tempat menarik di kota New York serta lawatan ke sebuah sekolah menengah di Amerika Syarikat.

Dalam telefilem ini turut memaparkan beberapa lokasi menarik di New York seperti Time Square dan Statue of Liberty.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan