Keluarga Tidak Benar Pekin Dedah Tarikh Kahwin

Diterbitkan: Isnin, 23 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pekin mengambil keputusan untuk berkahwin bukan kerana untuk mengelak kontroversi. Foto SHAARI CHE MAT.
Pekin mengambil keputusan untuk berkahwin bukan kerana untuk mengelak kontroversi. Foto SHAARI CHE MAT.

PETALING JAYA: Pelakon Pekin Ibrahim sudah menetapkan tarikh perkahwinan dengan Uqasha Senrose yang dijangka diadakan pada tahun 2014.

Pekin, 32, bagaimanapun tidak dapat mendedahkan tarikh bahagianya itu buat masa ini kepada umum atas permintaan keluarga kedua-dua belah pihak.

"Insya-Allah kami akan berkahwin pada tahun hadapan dan tarikhnya juga telah ditetapkan bagaimanapun keluarga tidak membenarkan kami mengumumkannya buat masa ini.

"Tetapi apa yang boleh saya katakan kami akan berkahwin pada tahun hadapan dan setelah semuanya selesai kami akan memberitahu kepada semua," katanya kepada mStar Online.

Pekin bakal muncul dengan filem terbaharunya berjudul Tokan bersama Sofi Jikan, Johan As'ari dan Liyana Jasmay.

Filem arahan Ghaz Abu Bakar itu akan ditayangkan pada 26 Disember ini.

Dalam perkembangan sama, Pekin menolak tanggapan bahawa dia ingin mempercepatkan perkahwinannya kerana bimbang kontroversi yang melanda mereka akan berulang.

Jelas Pekin, keputusannya untuk berkahwin adalah datang daripada hatinya dan bukannya kerana faktor-faktor lain.

"Jika diikutkan sejak hari pertama saya kenal dia saya sudah ajak kahwin kerana hubungan yang saya bina ini bukan atas dasar suka-suka tetapi memang ingin ke arah perkahwinan.

"Soal saya bimbang tentang kontroversi dan sebagainya langsung tidak timbul kerana ini adalah keputusan yang lahir dari hati untuk memperisterikannya," ujarnya.

Pekin dan Uqasha mula menjalinkan cinta sejak awal tahun ini sebelum mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan pada 6 Julai lalu.

Bagaimanapun hubungan tersebut mula goyah apabila Pekin mendakwa tunangnya itu mempunyai hubungan sulit dengan pelakon Sharnaaz Ahmad sehingga menyebabkan ikatan mereka hampir berakhir.

Sementara itu, Pekin memberitahu dia bersyukur kerana kelibatnya sebagai pelakon semakin mendapat perhatian walaupun sudah hampir 15 tahun dia berkecimpung dalam bidang tersebut.

"Alhamdulillah usaha keras selama ini semakin menampakkan hasilnya dan apa yang ingin saya lakukan adalah terus berkongsi bakat yang ada untuk menaikkan lagi industri," katanya.

Selain Tokan, Pekin bakal muncul dengan beberapa buah filem lagi seperti Apokalips, Rentas dan Tujuh pada tahun hadapan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan