Ellie Suriati Bidas Kenyataan Baldev, Dakwa Dipecat

Diterbitkan: Isnin, 23 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Elly mendakwa telah dipecat oleh Baldev dan menafikan dia telah menarik diri daripada projek filem tersebut.
Elly mendakwa telah dipecat oleh Baldev dan menafikan dia telah menarik diri daripada projek filem tersebut.

PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah Ellie Suriati membidas kenyataan produser syarikat White Merpati Entertainment Sdn Bhd, iaitu S. Baldev yang mendakwa dia menarik diri pada saat akhir sebelum mula penggambaran filem KL Cinta Mandi Toq.

Ellie atau nama sebenarnya Ellie Suriati Omar ketika dihubungi mStar Online berkata, dia sebenarnya telah dipecat oleh Baldev menerusi panggilan telefon selepas mempersoalkan mengenai pengangkutan ke tempat penggambaran yang tidak disediakan oleh produksi.

"Ingin saya tegaskan di sini bahawa saya tidak menarik diri seperti dilaporkan tetapi Baldev sendiri yang memecat saya apabila saya mempersoalkan tentang pengangkutan untuk ke lokasi penggambaran yang sepatutnya disediakan oleh pihak produksi.

"Mengapa dia ingin menyaman saya kerana bukan saya menarik diri tetapi dipecat. Saya yang menanggung kerugian dan bukannya dia.

"Apa yang dikatakan mengenai saya menerusi akhbar tersebut adalah tidak benar dan ia mengguris perasaan saya," katanya ketika dihubungi pada petang Ahad.

Sebuah akhbar mingguan pada Ahad melaporkan Baldev mahu menyaman Ellie kerana didakwa gagal memulangkan semula wang pendahuluan yang diambil sebanyak RM4,500 selepas menarik diri pada saat akhir untuk membintangi filem tersebut.

Surat saman berkenaan juga telah diserahkan kepada Ellie menerusi syarikat guaman, Shook Lin & Bok, Associates & Solicitors pada 12 Disember lalu.

Filem genre komedi aksi itu diarahkan oleh Arjil Uppal dan turut dibintangi oleh Soffi Jikan, Puteri sarah Liyana, Taiyuddin Bakar, dan Datuk Aziz Sattar.

Dalam perkembangan sama, Ellie berkata, dia tidak akan tunduk dengan permintaan Baldev untuk memulangkan wang pendahuluan tersebut kerana tidak mahu sewenang-wenangnya ditindas tanpa dia menjelaskan situasi sebenar berlaku.

"Kalau saya bayar seperti yang diminta itu membuktikan saya tarik diri seperti didakwa. Saya tidak akan mengalah dan ditindas dengan begitu mudah.

"Sekiranya saya bayar ia seolah-olah membenarkan kepada penindasan terhadap golongan pelakon seperti saya," jelasnya.

Sementara itu, Ellie berkata dia telah menyerahkan perkara tersebut kepada Biro Aduan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) untuk nasihat bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Jelas Ellie, dia mengakui silap tidak membaca keseluruhan kontrak tersebut kerana meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada Baldev dan tidak menyangka telah ditipu.

"Saya tandatangan kontrak itu kerana telah diyakinkan oleh salah seorang pekerjanya yang memberitahu kontrak tersebut sama seperti mana syarikat produksi lain dan saya percaya sepenuhnya dengan syarikat tersebut.

"Kekecohan bermula apabila saya bertanya tentang pengangkutan untuk ke lokasi dan diberitahu pihak mereka tidak menyediakan pengangkutan dan ia telah termaktub dalam kontrak," katanya.

Jelas Ellie lagi, dia tidak bertanya mengenai pengangkutan kerana sebelum ini perkara itu tidak pernah menjadi masalah sepanjang dia bekerjasama dengan mana-mana produksi sejak bergelar pelakon.

"Sebelum saya tandatangan saya bertanya kepada pekerjanya tentang kontrak dan dia meyakinkan saya bahawa tiada terma-terma yang pelik dan ia sama seperti mana produksi lain dan tidak menyangka pula pengangkutan tidak disediakan.

"Sejak tahun 1998 saya berlakon belum pernah produksi yang tidak menyediakan pengangkutan untuk artis tidak kira produksi besar atau pun kecil," katanya.

Dalam pada itu, Ellie berkata, tohmahan yang mengatakan dia bersikap 'primadona' dianggap sebagai mengarut kerana dia sedar akan kedudukannya sebagai seorang pelakon dan menafikan dia ada meminta layanan istimewa.

Jelas Ellie, pelakon dan krew produksi yang pernah bekerjasama dengannya lebih mengetahui sikapnya yang sentiasa menghormati pengarah.

"Saya bukannya minta kereta mewah jemput saya di rumah kerana selama ini pun jika terlibat dengan mana-mana projek saya hanya naik van produksi sahaja. Paling penting dapat sampai ke lokasi dan jalankan tugas.

"Saya tidak tahu pula sekiranya soal kebajikan artis dipersoalkan saya terus dituduh sebagai 'diva' dan sering menimbulkan masalah," jelas Ellie.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan