Finas Terima 74 Penyertaan Anugerah Dokumentari Malaysia ke-4

Diterbitkan: Rabu, 18 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)
Megat ketika memberi ucapan pada majlis pengumuman lima calon terakhir Anugerah Dokumentari Malaysia Ke-4.
Megat ketika memberi ucapan pada majlis pengumuman lima calon terakhir Anugerah Dokumentari Malaysia Ke-4.

SUBANG JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) telah menerima 74 penyertaan penerbitan filem dokumentari bagi bertanding dalam Anugerah Dokumentari Malaysia ke-4 yang bakal diadakan pada 22 Disember depan.

Timbalan Ketua Pengarah Produksi dan Teknikal Finas, Dr Megat Al Imran Yasin berkata, pihaknya telah meneliti kesemua penyertaan tersebut menerusi lima pencalonan terbaik bagi 13 kategori yang bakal dipertandingkan.

"Ini adalah tahun keempat acara ini diadakan dan dari segi kualiti penyertaan yang dihantar amat memuaskan dan menyukarkan pihak juri untuk membuat penilaian.

"Bagaimanapun kita berjaya lima calon terbaik setiap kategori menerusi penilaian yang telus berdasarkan kreativiti, teknikal dan keaslian dokumentari yang disampaikan," katanya kepada mStar Online.

Megat ditemui pada majlis pengumuman lima pencalonan terbaik bagi anugerah tersebut di D'Bakul Indonesian Cuisine di sini, Selasa.

Antara anugerah yang dipertandingkan adalah Dokumentari Terbaik, Dokumentari Sejarah Terbaik, Dokumentari Pendek Terbaik, Pengarah Terbaik, Skrip Terbaik dan Suntingan Terbaik.

Tambah Megat, Anugerah Dokumentari Malaysia ke-4 bakal menyampaikan dua trofi istimewa iaitu Tokoh Dokumentari dan Anugerah Khas Juri pada malam kemuncak itu nanti.

Setiap pemenang bakal menerima sebuah trofi dan wang tunai pada acara yang bakal diadakan Sound Stage Studio Finas pada pukul 8 malam.

Dalam pada itu, Megat berkata, kesemua hasil kerja yang dihantar telah dinilai oleh lima orang juri yang diketuai oleh, Pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UniMap), Profesor Dr Asiah Sarji.

Antara nama lain yang turut membarisi panel juri adalah penerbit dan pengarah, Hafsham Othman, Ahli Sejarah dan budayawan, Siri Neng Buah dan pengarah dokumentari, Mok Choy Lin.

Sementara itu, Megat berkata, industri perfileman dokumentari di negara ini mempunyai potensi besar untuk dipasarkan ke peringkat antarabangsa kerana pengisiannya yang unik dan berbeza.

Jelas Megat, pihaknya menerusi beberapa pelan strategi yang telah dibuat oleh Finas sedang berusaha mengangkat karya-karya tempatan di peringkat antarabangsa.

"Program-program sebegini diwujudkan bagi memberi ruang kepada penggiat-penggiat seni untuk menghasilkan karya terbaik dan seterusnya mampu mengembangkan industri tersebut.

"Finas sedang dalam usaha ingin memperkenalkan karya tempatan ke peringkat luar negara dan yakin ia dapat diterima," katanya.

Anugerah berprestij itu telah diperkenalkan sejak tahun 2009 yang merupakan salah satu acara dwi tahunan Finas selaras dengan Dasar Perfileman Negara dalam meningkatkan pembangunan filem dokumentari.

Objektif Anugerah Dokumentari Malaysia pada kali ini adalah untuk memberi pengiktirafan kepada penggiat-penggiat filem serta menyemarakkan lagi penerbitan filem berbentuk dokumentari.

Berikut adalah senarai penuh kategori yang bakal dipertandingkan:

1. Anugerah Dokumentari Terbaik

2. Dokumentari Sejarah Terbaik

3. Dokumentari Kesenian dan Kebudayaan Terbaik

4. Dokumentari Alam Semula Jadi Terbaik

5. Dokumentari Isu Semasa dan Kemasyarakatan Terbaik

6. Dokumentari Pendek Terbaik

7. Pengarah Terbaik

8. Sinematografi Terbaik

9. Skrip Terbaik

10. Suntingan Terbaik

11. Adunan Audio Terbaik

12. Anugerah Tokoh Dokumentari

13. Anugerah Khas Juri

iklan

iklan

Iklan