Tak Ada Artis Popular, Filem Tetap Laris - Pengarah 'Laki-Laki'

Diterbitkan: Selasa, 17 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Ollyn Khadry
Ollyn Khadry

PETALING JAYA: Pengarah filem Ollyn Khadry menyifatkan ketiadaan pelakon-pelakon popular dalam karya terbaharunya iaitu Laki-Laki tidak akan menjejaskan tarikan orang ramai bagi menyaksikan filem tersebut.

Ollyn atau nama sebenarnya Ahmad Rusli Mohamed Khadry berkata, barisan pelakon utamanya iaitu Angah (Raja Lawak), Zul Suphian, Adey Syafrien, Mie (Raja Lawak) dan Azriel Ismail sudah cukup membuatkan para penonton terhibur.

"Filem ini dihasilkan pada tahun 2011 di mana ketika itu kami memang merancang untuk mengambil pelakon yang dah ada nama. Namun karakter yang diberikan tidak sesuai dengan mereka.

"Kemudian selepas membuat uji bakat khas, lima pelakon inilah yang dipilih kerana mereka serasi dengan watak masing-masing. Saya rasa tidak perlulah nama popular untuk melariskan filem. Kerana melihat gelagat mereka sahaja dalam Laki-Laki sudah membuatkan penonton terhibur," katanya kepada mStar Online.

Laki-Laki mengisahkan lima lelaki iaitu Abu (Angah), Razak (Zul), Jerry (Adey), Samad (Mie) dan Azman (Azriel) yang sedang berhadapan dengan pelbagai masalah mengikuti sebuah program motivasi untuk membantu menaikkan semangat mereka semula.

Bagaimanapun mereka terlibat dalam satu tragedi kapal terbang terhempas sehingga masing-masing terdampar di sebuah pulau kecil.

Keegoan masing-masing membuatkan mereka sering bergaduh namun, lama-kelamaan mereka mula bekerjasama bersatu untuk hidup di pulau tersebut.

Sementara itu, Ollyn berkata, walaupun Laki-Laki sebuah filem ringan, terdapat pelbagai cabaran yang dilalui sepanjang penggambaran dijalankan.

"Filem ini dirakamkan di sebuah pulau kecil di Pulau Pangkor. Bukan mudah kerana ia melibat air pasang surut.

"Saya bersama kru terpaksa duduk di atas batu ketika penggambaran kerana air laut dah naik. Mujurlah tidak sukar untuk saya mengendalikan pelakon-pelakon kerana mereka sudah tahu peranan masing-masing," ujarnya.

Laki-Laki terbitan Metrowealth Pictures (MIG) akan ditayangkan bermula 19 Disember ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan