Siti Nurhaliza Sedih Melihat Mangsa Banjir

Diterbitkan: Selasa, 10 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Siti Nurhaliza (kiri) bertanya khabar seorang warga emas, Aminah Selaiman, 83, ketika menyampaikan sumbangan dan meluangkan masa bersama mangsa banjir di Pusat Pemindahan Banjir Sekolah Menengah Kebangsaan Gudang Rasau, Kuantan pada Isnin. Gambar: Bernama.
Siti Nurhaliza (kiri) bertanya khabar seorang warga emas, Aminah Selaiman, 83, ketika menyampaikan sumbangan dan meluangkan masa bersama mangsa banjir di Pusat Pemindahan Banjir Sekolah Menengah Kebangsaan Gudang Rasau, Kuantan pada Isnin. Gambar: Bernama.

PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin melahirkan rasa sedih melihat mangsa-mangsa banjir di Kuantan, Pahang ketika tampil menghulurkan bantuan di empat buah pusat pemindahan banjir di negeri itu.

Siti, 34, berkata, kebanyakan daripada mereka masih belum dibenarkan pulang ke rumah walaupun banjir mulai surut kerana cuaca yang tidak menentu buat masa ini.

"Ada di antara mereka rumah berdekatan dengan sungai jadi mereka masih belum boleh dibenarkan pulang kerana bimbang air akan naik semula.

"Sebagai manusia sudah tentu saya sedih melihat keadaan mereka namun saya kagum dengan semangat mereka yang terus tabah mengharungi dugaan ini," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Siti yang turut ditemani suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa telah menyumbangkan 700 pek barangan makanan dan keperluan asas seperti makanan dalam tin, beras, lampin pakai buang, tuala wanita, ubat gigi, berus gigi dan syampu kepada mangsa di bencana alam berkenaan.

Sumbangan itu dilakukan dengan kerjasama Yayasan Nurjiwa dan syarikat kosmetik miliknya, SimplySiti.

Empat buah pusat penempatan mangsa banjir yang sempat dikunjungi penyanyi itu adalah Sekolah Menengah Gudang Rasau, Sekolah Kebangsaan Pandan, Balai Raya Bukit Kuin 1 dan Sekolah Kebangsaan Kampung Padang.

Dalam pada itu, Siti berkata, dia sempat meluangkan masa bersama mangsa-mangsa yang terlibat selain mendengar luahan mereka tentang kejadian yang menimpa.

"Mereka ada memberitahu bimbang tentang keadaan rumah yang ditinggalkan selain berharap dapat pulang untuk meneruskan kehidupan seperti biasa," ujarnya.

Sementara itu, Siti berkata, dia bersyukur kerana niat murninya untuk membantu mereka yang terlibat berjalan lancar seperti dirancang.

"Alhamdulillah perancangan untuk membantu mangsa banjir terlaksana dan berharap sumbangan kecil itu dapat meringankan beban mereka pada waktu ini.

"Biarpun keadaan sudah beransur pulih namun ramai di antara mereka yang masih belum dapat pulang ke rumah dan bantuan barangan asas amat bermakna buat mereka," katanya.

Siti turut menyeru individu atau pun syarikat korporat terus menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir supaya keadaan mereka lebih selesa dan teratur.

Setakat pukul 9 pagi Isnin, seramai 33,952 mangsa banjir masih berada di 141 pusat pemindahan di sembilan buah daerah yang terjejas akibat banjir di Pahang.

Kuantan masih menempatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 27,700 orang di 35 pusat pemindahan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan