Syazwan Zulkifly Mengaku Silap Timbulkan Masalah

Diterbitkan: Jumaat, 29 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Syazwan Zulkifly
Syazwan Zulkifly

PETALING JAYA: Pelakon Syazwan Zulkifly menjelaskan kegagalannya menjayakan sebuah drama terbitan Primeworks Studio baru-baru ini adalah disebabkan kesilapannya dalam menyusun jadual kerja.

Syazwan, 26, berkata, dia terpaksa menarik diri pada saat-saat akhir apabila menyedari tarikh penggambaran tersebut bertindan dengan penggambaran drama yang sedang dijalankan di luar negara.

"Saya tidak mempunyai pengurus peribadi, jadi jadual kerja, saya atur sendiri dan hanya ingat di kepala, bila saya sedar tarikh penggambaran tersebut bertindih dengan tarikh penggambaran telefilem Suamiku Encik Perfect 10 di London.

"Saya mengaku ia terjadi kerana kesilapan saya dan saya sudah minta maaf kepada pihak produksi tersebut. Saya tahu sukar untuk mencari pengganti pada saat-saat akhir," katanya kepada mStar Online.

Syazwan berkata demikian ketika diminta mengulas tentang salah faham di antara dia dengan pihak produksi apabila dia dikatakan menarik diri pada saat-saat akhir penggambaran drama Terukir Di Bintang terbitan Primeworks, anak syarikat TV3.

Syazwan dikatakan menarik diri semata-mata untuk menjayakan penggambaran di London dengan sebuah produksi lain.

"Saya tidak boleh tarik diri untuk ke London kerana penggambaran sudah dilakukan separuh di Malaysia. Lagi pula drama Terukir Di Bintang itu belum mula penggambaran," katanya.

Bagaimanapun, Syazwan berkata, dia kesal dengan perkara tersebut dan sudah meminta maaf dengan pihak yang terlibat.

"Saya kesal sangat kesal dengan kesilapan itu, namun Alhamdulillah semuanya sudah selesai," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan