Gafim Mahu Ambil Alih Anjur FFM25 Sepenuhnya

Diterbitkan: Jumaat, 29 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Jurey Latiff
Jurey Latiff

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) akan berusaha untuk mendapatkan peluang bagi mengendalikan sepenuhnya Festival Filem Malaysia ke 26 (FFM26) daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Presiden gabungan itu, Jurey Latiff Rosli berkata, pihaknya bersedia memikul tanggungjawab dalam menganjurkan semula anugerah berprestij tersebut yang sebelum ini dikendalikan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

"Kita sudah menghantar surat kepada kementerian pada Oktober lalu untuk mendapatkan hak penganjuran FFM26, namun sehingga kini belum menerima apa-apa maklum balas.

"Jika kami dapat hak penganjuran tersebut ia secara tidak langsung dapat mengurangkan beban Finas yang mana acara itu bukan di bawah tanggungjawab agensi tersebut," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat agung Gafim 2013, di sini, Khamis.

Bagaimanapun, tambah Jurey, pihaknya memerlukan masa dan peruntukkan yang mencukupi dalam membuat persediaan penganjuran tersebut.

"Saya difahamkan FFM26 yang sepatutnya dilakukan pada Februari tahun depan ditunda ke bulan Ogos (2014). Kalau boleh jika kami diberi peluang tersebut kami memerlukan masa dan bajet yang mencukupi.

"Setidak-tidaknya kami dapat merancang lapan bulan daripada sekarang agar acara tersebut dapat dianjurkan dengan sempurna dan berjalan lancar," katanya.

Sementara itu, dalam mesyuarat tersebut juga semua ahli Gafim membincangkan hal dalam memperkasakan peranan gabungan itu untuk menjadi satu suara yang mewakili persatuan.

Jelasnya, setiap persatuan yang berada dalam Gafim mempunyai peranan dan objektif masing-masing.

"Gafim bukan suara sebuah persatuan sebaliknya gabungan suara daripada 11 persatuan di bawahnya.

"Setiap persatuan mempunyai peranan yang tersendiri dan fungsi yang berbeza-beza dalam mengerakkan industri seni tanah air. Oleh itu tidak timbul isu dalam mempertikaikan fungsi gabungan dalam Gafim," katanya.

11 persatuan yang bernaung di bawah Gafim ialah Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah air (Papita), Persatuan Artis Cina Malaysia (Amca) dan Persatuan Pengarah Filem Malsyia (Fdam).

Turut bernaung ialah Persatuan Penyair Kebangsaan Malaysia (Penyair), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Persatuan Kebajikan Penghibur-Penghibur India Malaysia (Miewa), Persatuan Syarikat Pos Produksi & Animasi Malaysia (Postam) dan Persatuan Penulis Kreatif Malaysia (CGM).

Gafim juga turut mempunyai persatuan baharu iaitu Persatuan Dayak Filem Sarawak.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan