'Saya Umpama Cuci Tahi Dalam Seniman' - Zed Zaidi

Diterbitkan: Ahad, 24 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Zed Zaidi (depan; tiga dari kiri) sugul dengan situasi yang terjadi terhadap Seniman.
Zed Zaidi (depan; tiga dari kiri) sugul dengan situasi yang terjadi terhadap Seniman.

KUALA LUMPUR: “Saya umpama mencuci najis,” demikian luah bekas Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi yang terpaksa akur jawatannya telah gugur selepas Mahkamah Tinggi di sini Khamis lalu memutuskan semua ahli jawatankuasa persatuan berkenaan tidak sah.

Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 33, berkata, kesilapan yang dilakukan oleh pasukan pemimpin Seniman sebelumnya adalah satu perkara yang amat menyedihkan kerana ia turut mengheret kepimpinan terbaharu dalam kemelut tersebut sehingga peranan mereka dibatalkan.

“Saya umpama mencuci tahi orang. Bila kita dah cuci (tahi) itu bersih-bersih, ia jadi (tahi) semula. Kami adalah mangsa keadaan kerana kesilapan pemimpin-pemimpin terdahulu.

“Saya amat-amat sedih dengan keputusan mahkamah ini tetapi apa boleh buat. Saya terpaksa terima. Kami benar-benar teraniaya,” kata Zed Zaidi dalam satu pertemuan dengan kira-kira 50 ahli Seniman di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di sini pada Sabtu.

Selain Zed Zaidi, pertemuan itu turut disertai beberapa bekas ahli jawatankuasa persatuan tersebut termasuklah bekas Setiausaha Kehormat, Zahrin Ishak.

Pertemuan itu diaturkan oleh Setiausaha Kerja Seniman 1 dan 2, Raja Mohd Faizal Raja Mohamad Anuar dan Juniza Maslan yang mengambil alih tugas mengemudi persatuan buat sementara waktu.

Zed berkata, semasa menjadi Presiden Seniman, pelbagai usaha telah dilakukannya termasuklah berhasrat mewujudkan kad diskaun 1Malaysia untuk golongan artis, insurans serta perumahan rakyat bagi golongan berkenaan.

Bagaimanapun usaha itu terbantut selepas beliau dan beberapa pemimpin lain telah gugur jawatan akibat arahan mahkamah.

“Agenda saya dalam Seniman ini amat besar. Saya mahu meningkatkan darjat artis-artis yang sering dipandang rendah agar terus dihormati, tetapi saya tidak berjaya,” katanya dalam keadaan yang cukup hiba.

Dalam pada itu Zahrin yang masih kekal jawatannya sebagai penasihat undang-undang persatuan itu berkata, walaupun tidak berpuas hati dengan beberapa perkara, pihaknya tidak berhasrat mencabar keputusan Mahkamah Tinggi sebaliknya menantikan pemilihan jawatankuasa baharu yang akan diuruskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam masa dua bulan bermula 21 November 2013. Katanya, mereka tidak mahu membazir kerana sesuatu perkara yang dibawa ke mahkamah akan memakan masa yang lama selain melibatkan kos yang tinggi.

“Sesuatu kes akan memakan masa yang lama kadang-kadang sehingga dua tahun. Malah, berkemungkinan besar ia memerlukan kos yang tinggi, mungkin lebih besar daripada kos yang sepatutnya pihak defendan diarahkan bayar,” katanya.

Ditanya pemberita sebagai penasihat undang-undang sejak era Harun Salim Bachik sebagai presiden, kenapa beliau gagal menasihati ahli-ahli Seniman agar tidak meneruskan mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke 14 kerana pemimpin ketika itu gagal mengesahkan minit mesyuarat sebelumnya Zahrin berkata, ia diadakan selepas mendapat mandat ahli-ahli.

Katanya, majoriti ahli bersetuju untuk meneruskan AGM-14 walaupun Harun serta pemimpin-pemimpin yang lain memberi alasan tidak dapat membentangkan minit mesyuarat untuk disahkan kerana dokumen itu hilang selepas pejabat Seniman didakwa mereka telah dipecah masuk.

“Ahli-ahli telah bersetuju untuk meneruskan AGM-14 bagi memilih kepimpinan baru maka sebab itulah mesyuarat berkenaan diteruskan juga dan Zed Zaidi dipilih sebagai presidennya. Kami tidak menyangka ia akan jadi seperti ini,” katanya.

Terdahulu dalam sidang media berkenaan, Zed Zaidi masih mendapat sokongan kuat apabila sebahagian besar ahli-ahli yang hadir memberi kepercayaan untuknya memimpin persatuan berkenaan dalam AGM akan datang.

Sambil melaungkan kata-kata ‘hidup Zed Zaidi’ ahli-ahli Seniman itu antara lain memuji Zed Zaidi antara pemimpin yang cekap dalam menjalankan tugasnya membela nasib artis-artis di negara ini.

Pada Khamis lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi di sini Rosilah Yop memutuskan apa-apa pemilihan ahli jawatankuasa Persatuan Seniman yang dibuat dalam Mesyuarat Agung Ke-14 yang diadakan 26 Mei 2012 di Dataran Karyawan Finas, di sini, adalah terbatal dan tidak sah.

Rosilah turut memerintahkan defendan kedua hingga keempat iaitu bekas presiden persatuan itu Haron Aminar Rashid Salim (Harun Salim Bachik), Omar Kamarudin (Yusof Kelana) dan Wafa A.Kadir membayar ganti rugi khas sebanyak RM56,000 berhubung pembelian hartanah di Setiawangsa kepada Persatuan Seniman.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Rozaidi Jamil (Zed Zaidi), Elyas Ismail, Syed Ahmad Nahar Syed Mokhtar (Sean) dan Zaharudin Wahab (Den Wahab).

Beliau juga turut memerintahkan ketujuh-tujuh defendan berkenaan membayar kos tindakan sebanyak RM60,000 kepada pihak plaintif.

Pada 25 Januari lepas lima artis veteran telah memfailkan saman terhadap persatuan itu termasuk pemimpin-pemimpinnya bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk mengisytiharkan AGM ke 14 persatuan berkenaan tidak sah kerana disyaki berlaku penyelewengan dan beberapa perkara termasuk pemalsuan pindaan undang-undang.

Lima artis veteran berkenaan yang dinamakan sebagai plaintif ialah Abu Bakar Omar, Sahlan Sudiran (Sahlan), Roslinda Buang, Mior Ahmat Zaudi Mior Ali dan Datuk Abdullah Sani.

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Kolumnis

iklan

Iklan