Star Wars Episod VII Masuk Pawagam 18 Disember 2015

Diterbitkan: Jumaat, 22 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Edisi terbaharu Star Wars itu akan diarahkan oleh JJ Abrams.
Edisi terbaharu Star Wars itu akan diarahkan oleh JJ Abrams.

WALT Disney, pemilik francais filem Star Wars mengumumkan yang edisi terbaru filem tersebut iaitu Episod 7 akan mula ditayangkan di pawagam di seluruh dunia mulai 18 Disember 2015.

Edisi baru itu akan diarahkan oleh pengarah popular sebuah lagi filem aksi sains fiksyen Star Trek, JJ Abrams pada musim panas 2014.

"Kami ingin mengumumkan yang tarikh rasmi penayangan filem Star Wars: Episode 7, akan dibawa ke hadapan iaitu pada 18 Disember 2015 bersamaan dengan perayaan Krismas.

Produksi filem ini memerlukan sedikit masa lagi untuk menghasilkan satu karya yang menakjubkan,” kata Pengerusi Disney, Alan Horn dalam satu kenyataan.

Episod 7 sepatutnya dilancarkan pada musim panas 2015 tetapi apabila pihak produksi memutuskan untuk menukar penulis skrip, ia telah menjejaskan proses pengembaran.

Penulis skrip asal untuk filem terbaru ini ialah Michael Arndt iaitu penulis filem Toy Story 3 yang telah pun selesai menghasilkan deraf yang pertama.

Bagaimanapun untuk sebab yang tidak dijelaskan, Walt Disney telah menguggurkan Arndt dan meminta Abrams sendiri mengendalikan jalan cerita Episod 7 semula dengan dibantu oleh penulis skrip Episod 5 - The Empire Strikes Back (1980) iaitu Lawrence Kasdan.

Sementara itu Abrams dipetik oleh akhbar The Guardian sebagai berkata, adalah jelas sama sekali bekerja dengan Lawrence Kasdan untuk filem Star Wars terbaru ini telah membawa krew produksi ke arah yang jalan cerita ini sepatutnya berada.

Abram bagaimanapun memberi indikasi yang Arndt mungkin akan kembali bekerjasama dengan projek Star Wars pada masa hadapan.

“Dia adalah salah seorang penulis cerita yang terbaik dalam industri ini,” kata Abrams.

Para pengkritik berkata penundaan tarikh tayangan episod baru ini juga ada kaitan dengan strategi pemasaran berdasarkan pengalaman masa lalu yang menyaksikan filem-filem fantasi dan sains fiksyen yang lain seperti Avatar, Lord of the Rings dan Titanic yang kesemuanya ditayangkan pada musim cuti Krismas mengutip keuntungan yang lumayan dan pecah panggung.

Disney telah membeli keseluruhan kepentingan francais dalam projek Star Wars daripada pemiliknya George Lucas pada Oktober tahun lalu pada harga AS$4 bilion.

Lucas membuat keputusan untuk menjual kepentingannya dalam francais Star Wars selepas Disney memberi jaminan yang mereka mampu menerbitkan episod baru atau yang berkaitan dengannya setiap tahun mulai 2015.

Ini kerana Lucas mengakui yang beliau sendiri keletihan untuk meneruskan projek Star Wars.

Namun begitu, Lucas kekal sebagai salah seorang pemegang saham dalam kesemua kepentingan Star Wars di samping bertindak sebagai penasihat projek.

Pasukan produksinya termasuk penerbit kesayangannya Kathleen Kennedy dikekalkan oleh Disney dan diberi kebebasan berkarya.

Disamping kesinambungan episod Star Wars itu sendiri, Disney juga akan turut menerbitkan filem-filem sampingan yang ada kaitan dengan karakter-karakter utama dalam filem Star Wars, seperti Yoda, Han Solo dan pemburu upahan Boba Fett.

Kesemuanya akan diterbitkan satu persatu mulai tahun 2015.

Francais filem-filem Star Wars adalah yang terbesar dan paling berjaya dari segi kutipan jualan tiket dalam sejarah perfileman Hollywood.

Uji bakat untuk Episod 7 sudah pun bermula bulan ini di United Kingdom dan juga Amerika Syarikat dengan sebahagian besar para pelakon barunya dijangkakan terdiri daripada aktor-aktor Inggeris.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan