Sofia Jane, Vanidah Akui Sukar Tutur Dialek Kelantan

Diterbitkan: Jumaat, 22 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Vanidah (kiri) dan Sofia Jane.
Vanidah (kiri) dan Sofia Jane.

KUALA LUMPUR: Pelakon Datin Sofia Jane mengakui sukar untuk mendalami dialek Kelantan bagi pementasan Makyung Kesaktian Anak Raja Gondang yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 29 hingga 2 Disember depan.

Sofia bagaimanapun berkata, selepas menjalani sesi latihan dan tunjuk ajar daripada pengarah Fatimah Abdullah dia semakin mahir bercakap dalam dialek tersebut.

"Dialek Kelantan memang sukar dan tidak mudah untuk mendalaminya tanpa bantuan pakar.

"Mujur Fatimah tidak jemu-jemu mengajar bagi memastikan sebutan dan gaya percakapan dialek itu dibuat dengan betul dan saya semakin berasa yakin," katanya kepada mStar Online.

Sofia ditemui pada sidang media kedua pementasan itu yang diadakan di Lambang Sari, Istana Budaya di sini pada Khamis.

Selain Sofia, ia bakal menampilkan barisan pelakon seperti Rosnan Rahman, Vanidah Imran, Sabri Yunus dan Sufian Bujang.

Dalam perkembangan sama, Sofia berkata, dia bersetuju untuk terlibat dalam persembahan itu kerana ingin melakukan kelainan dalam kerjaya seninya.

Jelas Sofia, walaupun sukar namun dia tetap komited untuk mempelajari selok-belok mengenai makyung yang semakin dilupakan oleh generasi muda.

"Makyung adalah warisan negara kita dan penglibatan saya dalam pementasan ini adalah sebagai satu tanggungjawab sosial bagi memastikan ia akan terus kekal sebagai satu seni kebanggaan masyarakat Malaysia," ujarnya.

Sementara itu, Vanidah ketika ditemui berkata, selain perlu mahir dalam dialek Kelantan menerusi pementasan ini juga dia perlu menari dan menyanyi sebuah lagu.

Kata Vanidah, walaupun bukan bergelar penyanyi namun dia mengakui teruja untuk menyanyi pada pementasan itu nanti.

"Setiap hari saya akan berlatih dan akan mendengar lagu yang bakal didendangkan setiap masa jika berpeluang untuk memantapkan vokal dan sebutan.

"Ini kerana lagu dalam dialek Kelantan sangat unik dan mempunyai lenggok tersendiri membuatkan ia tambah istimewa," jelasnya.

Dalam pada itu, Fatimah memberitahu walaupun makyung itu nanti akan diubah dari segi teknikal namun keaslian jalan cerita dan konsep asal persembahan akan dikekalkan tanpa sebarang perubahan.

Malah dia sangat berbangga dengan prestasi yang ditunjukkan oleh dua pelakonnya iaitu Sofia dan Vanidah yang cepat menghayati dialek dan lenggok bahasa Kelantan.

"Ini adalah pementasan makyung yang terbesar pernah saya arahkan dan arah tuju persembahan setakat ini berjalan lancar ditambah dengan kredibiliti penari dan pelakon budaya Istana Budaya cukup mantap," ujarnya.

Selain aspek penceritaan, Fatimah berkata, alat-alat muzik yang digunakan untuk menghidupkan persembahan makyung seperti rebab, gendang ibu, gendang anak dan sepasang tetawak (gong), serunai dan geduk turut diberi penekanan supaya persembahan lebih mantap.

Makyung Kesaktian Anak Raja Gondang mengisahkan pengembaraan Anak Raja Gondang yang akhirnya sampai ke Negeri Hampa Beranyut.

Sebelum pengembaraan, baginda telah berpesan kepada bondanya, Puteri Gak Petera tentang petanda selasih yang ditanam di dalam pasu tiang seri istana iaitu jika pohon selasih itu layu di sebelah kiri bermakna dia dalam kesusahan dan sekiranya segar maka dia dalam kesenangan.

Maka bermulalah pengembaraan Anak Raja Gondang di mana dia telah bertemu dengan tujuh orang puteri ketika mereka bersiram di Kolam Banjaran. Anak Raja Gondang tatkala bertemu telah jatuh hati dengan Puteri Bongsu yang telah pun bertunang.

Tiket menyaksikan pementasan ini berharga RM253, RM103, RM73, RM53 dan RM33.

Ia boleh didapati di AirAsiaRedTic.com atau di kaunter BoxOffice, Istana Budaya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan