Komitmen Punca Noh & Geng Hujan Renggang

Diterbitkan: Rabu, 13 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Noh (tengah) bersama Kumpulan Hujan
Noh (tengah) bersama Kumpulan Hujan

PETALING JAYA: Vokalis Kumpulan Hujan iaitu Noh Salleh mengakui komitmen terhadap keluarga dan studio rakaman yang baharu dibuka agak membatasi aktivitinya bersama kumpulan tersebut.

Noh, 29, berkata, namun perkara tersebut tidak mengganggu perjalanan kumpulan tersebut terutamanya dalam persiapan mengadakan konsert di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 2 Disember depan.

"Aktiviti Hujan agak kurang kerana kami masing-masing ada komitmen sendiri. Macam saya sudah berkeluarga dan baru buka sebuah studio. Memang agak sibuk sedikit.

"Begitu juga yang lain-lain ada projek sendiri, namun kami masih lagi bersama lebih-lebih lagi untuk konsert di DFP dan tumpuan kepada album kompilasi Hujan yang akan dikeluarkan tidak lama lagi," katanya kepada mStar Online.

Noh berkata demikian ketika diminta mengulas tentang dakwaan anggota kumpulan tersebut tidak sehaluan dan akan berpecah.

Sementara itu, jelas Noh, penglibatannya bersama dalam kumpulan Da Vagabonds adalah sebagai projek sampingan semata-mata dan tidak menjejaskan perjalanan kumpulan Hujan.

"Kami masing-masing ada projek kumpulan lain namun ia bukanlah keutamaan, bukan saya sahaja, malah AG Coco dan Izat juga ada komitmen dan kumpulan mereka sendiri," katanya.

Dalam perkembangan lain, Noh berkata peluang mengadakan konsert di DFP merupakan satu penghargaan buat Hujan sebagai artis berkumpulan pertama yang akan beraksi di pentas tersebut.

"Kami mohon untuk buat konsert di sana sejak 2011 lagi tapi baru sekarang dapat dan ia merupakan satu peluang yang akan kami gunakan sebaik mungkin.

"Hujan merupakan kumpulan pertama yang dibawa ke pentas DFP itu dan saya rasa sangat berbangga," ujarnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan