Teman Artis Anggap Kematian Ahmad Busu Sukar Dicari Ganti

Diterbitkan: Selasa, 12 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Imuda (dua dari kiri) melihat ahli keluarga Ahmad Busu menabur bunga ke atas pusara Allahyarham.
Imuda (dua dari kiri) melihat ahli keluarga Ahmad Busu menabur bunga ke atas pusara Allahyarham.

PETALING JAYA: Teman rapat dan rakan seperjuangan menganggap kematian pelakon Ahmad Busu, 60, pada Ahad lalu sebagai satu kehilangan yang sukar dicari ganti.

Mereka berkata, Ahmad Busu yang popular pada tahun 1980-an menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu merupakan sahabat yang baik, berdisiplin dan tidak mempunyai musuh.

Pelawak Hamid Gurkha, 83, berkata, dia menganggap Ahmad Busu seperti anaknya sendiri disebabkan hubungan rapat mereka yang terjalan sejak sekian lama.

Malah katanya, pemergian pelakon itu benar-benar dirasai apatah lagi mereka tinggal di kawasan yang sama iaitu Taman Seri Andalas, Klang, Selangor.

“Saya sedih dengan kehilangan dia. Saya anggap Ahmad Busu macam anak saya sendiri. Kalau nak ke majlis-majlis hiburan, dia mesti ajak saya bersama sebab kami tinggal di kawasan berdekatan.

“Kalau saya tak mahu pergi, dia pun tak akan pergi. Pendek kata, kebanyakan masa saya dihabiskan bersama dia,” kata Hamid ketika dihubungi mStar Online di sini pada Isnin.

Ahmad Busu yang popular dengan watak Mat Deris dalam Pi Mai Pi Mai Tang Tu meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang Selangor kira-kira pukul 7.05 malam Ahad akibat angin ahmar.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang kira-kira pukul 11.30 pagi, Ahad,

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Seri Mohamad, 54, dan empat orang anak iaitu Nur Hamizah, 24, Mohd Afiq, 23, Muhammad Luqman, 16, dan Nur Hanis, 5 tahun.

Hamid berkata, kali terakhir dia bertemu Allahyarham ketika mereka bersama-sama ke Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di Hulu Klang dekat sini untuk menghadiri mesyuarat artis-artis veteran kira-kira dua minggu lalu tetapi majlis itu dibatalkan.

Ujar Hamid, antara keistimewaannya arwah apabila dia tidak gemar memburu-burukan sesiapa termasuklah rakan-rakannya sendiri.

“Dia tak suka cerita hal orang. Nak memburuk-burukkan orang jauh sekali. Saya rasa sedih sangat (kehilangannya) kerana dia orang yang baik,” kata Hamid.

Sementara itu pelakon Imuda, 53, pula berkata, banyak kenangan di antara dia dan Allahyarham selama lebih dua dekad mereka berkawan manakala hubungan yang terjalin ketika berlakon Pi Mai Pi Mai Tang Tu sentiasa terpahat dalam ingatan.

Malah disebabkan sitkom itu, persahabatan mereka begitu rapat sehinggalah Imuda menanggap arwah seperti abangnya sendiri.

“Saya anggap dia macam abang saya. Kami benar-benar rapat kerana berlakon dalam sitkom yang sama,” katanya.

Imuda menambah, Allahyarham pernah berpesan kepadanya agar menjaga tingkah laku dan tidak lupa diri apatah lagi ketika usia semakin lanjut.

Pesanan itu ujar Imuda akan diingatnya sampai bila-bila selain menganggap kematian Allahyarham adalah satu kehilangan besar kepada dunia hiburan tanah air.

Dalam pada itu pengarah sitkom berkenaan Othman Hafsham pula berkata, semasa dia mengarahkan siri untuk siaran RTM itu, Ahmad merupakan artis yang benar-benar menjaga disiplin dan tingkah lakunya itu harus dicontohi oleh artis-artis lain.

Dia juga tidak pernah timbulkan masalah ketika di lokasi lakonan selain muncul di lokasi penggambaran tepat pada masanya.

“Sesuatu yang saya tidak boleh lupa, arwah seorang yang banar-benar menjaga masa. Sebelum penggambaran, dia akan pastikan skrip dihafal dengan baik.

“Saya masih teringat bagaimana saya membaling kasut kepadanya gara-gara geli hati dengan jenaka yang dibuatnya semasa rakaman Pi Mai Pi Mai Tang Tu tidak lama dulu,” katanya.

Ahmad Busu merupakan individu keempat meninggal dunia yang terlibat dalam sitkom berkenaan selepas Sabtu Hussein, Zami Ismail dan Mohamad Abdullah.

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Kolumnis

iklan

Iklan