Piala Malaysia: Artis Kelantan Beri Pahang Mata '0'

Diterbitkan: Jumaat, 1 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Artis Kelantan dari kiri; Izzue Islam, Pekin Ibrahim dan Neelofa
Artis Kelantan dari kiri; Izzue Islam, Pekin Ibrahim dan Neelofa

PETALING JAYA: Artis-artis dari negeri Kelantan memberikan Pahang dengan mata ‘0’ dalam perlawanan bola sepak Piala Malaysia melibatkan kedua-dua negeri itu di Stadium Shah Alam, dekat sini pada Ahad ini.

Artis-artis berkenaan iaitu Pekin, Izzue Islam dan Neelofa berkata, Pahang layak menerima mata berkenaan berdasarkan kekuatan yang dimiliki oleh pasukan Red Warriors yang disokong mereka.

Sementara itu artis-artis Pahang pula iaitu Azhar Sulaiman, Norkhiriah dan Norman Hakim menaruh keyakinan negeri itu mampu menjuarai perlawanan kali ini kerana mereka dilihat semakin kuat apabila berjaya mara ke peringkat akhir.

Ketiga-tiga artis Pahang itu berpendapat Piala Malaysia pada tahun ini wajar jatuh ke tangan skuad Tok Gajah itu setelah sekian lama negeri itu tidak menjadi juara.

mStar Online mendapatkan komen enam artis dari kedua-dua negeri berhubung pasukan bola sepak yang disokong.

Pelakon Izzue Islam menyifatkan, Kelantan masih mampu mengekalkan kejuaraan dengan mendapatkan skor sekurang-kurangnya 1-0 menewaskan Pahang.

"Perlawanan kali ini pastinya sengit apabila melihatkan pasukan Pahang kerana mereka semakin hebat di padang.

"Tetapi saya yakin bahawa Kelantan masih boleh mengekalkan kejuaraan mereka. Penyerang Fakri Shaarani merupakan pemain kegemaran saya dan saya yakin dia mampu memberikan satu skor," katanya.

Pekin Ibrahim pula mengharapkan Kelantan dapat menundukkan Pahang dengan 2-0 dan yakin pemain kegemarannya, Indra Putra mampu memberikan persembahan permainan yang terbaik pada perlawanan itu.

"Saya yakin Kelantan boleh menang kali ini cuma sayangnya saya tidak dapat berpeluang menyaksikan perlawanan tersebut di stadium kerana sibuk di set penggambaran. Bagaimanapun saya mendoakan kejayaan mereka," ujarnya.

Manakala Neelofa yakin Kelantan mampu membawa pulang kejayaan sebanyak 3-0 namun menasihati para penonton agar tidak terlalu beremosi andai kata negeri itu tewas.

"Saya faham, bagi masyarakat Kelantan, permainan bola sepak merupakan perkara yang sangat besar tetapi janganlah sampai terlalu beremosi jika perlawanan itu tidak berpihak pada negeri Kelantan.

"Jika kalah, tunjukkan kepada masyarakat dengan sikap yang lebih tenang pada perlawanan itu nanti," ujarnya.

Sementara itu, pelakon Azhar Sulaiman mengharapkan kemenangan berpihak kepada Pahang kerana ia merupakan pencapaian tinggi buat negeri itu untuk berada di peringkat akhir sejak beberapa tahun lalu.

"Saya nampak pasukan Pahang semakin kuat dengan memiliki perancangan teliti dalam setiap permainan.

"Tambah pula kekuatan pemain-pemain Pahang terletak kepada persefahaman masing-masing yang boleh membaca setiap pergerakan yang dilakukan.

"Saya yakin kali ini Pahang menjuarai perlawanan Piala Malaysia dengan mata 2-0," ujarnya.

Dalam pada itu, Norkhiriah pula berkata, ini merupakan kali pertama dia bersemangat untuk menyaksikan perlawanan bola sepak apabila ia membabitkan negeri kelahirannya.

"Saya bukanlah peminat tegar bola sepak tetapi apabila mendapat tahu Pahang berjaya ke peringkat akhir, mestilah saya nak sokong mereka.

"Insya-Allah saya dan keluarga akan berkumpul menyaksikan perlawanan itu beramai-ramai. Mungkin Pahang mendapat jaringan 3-2 atau lebih. Siapa tahu," katanya.

Norman Hakim pula menyasarkan Pahang mampu mengalahkan Kelantan sebanyak 2-0 namun mengakui perlawanan kali ini amat sengit kerana kekuatan kedua-dua pasukan.

"Kali terakhir Pahang pernah menang adalah pada tahun 1992 dan perlawanan di peringkat akhir ini pastinya satu perkara yang sangat besar buat pemain-pemain Pahang.

"Dan saya percaya mereka juga mengharapkan untuk menang. Apa yang boleh saya cakap, kedua-dua pasukan adalah hebat dan hanya permainan konsisten dan tuah mampu memberikan salah satu pasukan untuk meraih kemenangan," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan