Pekin Akui Silap, Tepis Tuduhan Reka Isu Putus Tunang

Diterbitkan: Isnin, 28 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pekin memberitahu sepanjang pembabitannya dalam bidang lakonan dia tidak pernah cuba meraih sebarang publisiti murahan terutamanya mengenai kehidupan peribadi.
Pekin memberitahu sepanjang pembabitannya dalam bidang lakonan dia tidak pernah cuba meraih sebarang publisiti murahan terutamanya mengenai kehidupan peribadi.

PETALING JAYA: Pelakon Pekin Ibrahim menolak dakwaan kononnya isu putus cintanya dengan Uqasha Sensrose sengaja diada-adakan bagi mendapatkan publisiti.

Pekin, 33, berkata, sepanjang pembabitannya dalam bidang lakonan dia tidak pernah cuba meraih sebarang publisiti murahan terutamanya mengenai kehidupan peribadi.

"Apa yang berlaku sudah terjadi dan ia adalah salah faham yang tidak sepatutnya berlaku dan tidak timbul soal cuba meraih populariti kerana itu bukan diri saya.

"Isu yang berlaku sebelum ini saya sendiri tidak jangka dan salah faham tersebut telah pun dijelaskan supaya tidak melarat lebih teruk," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Ahad.

Pekin sebelum ini membuat kenyataan hubungan cintanya dengan Uqasha berakhir selepas mendakwa mempunyai bukti tunangnya itu bermain kayu tiga dengan pelakon Sharnaaz Ahmad.

Bagiamanapun pertemuan empat mata di antara dia bersama pelakon itu telah merungkai salah faham isu berkenaan dan ia sudah dianggap selesai.

Pekin menerusi laporan media pada Ahad turut menyalahkan sebuah blog kerana menjadi pencetus isu tersebut selain mendakwa kenyataanya untuk putus tunang adalah kerana emosi.

Dalam perkembangan sama, Pekin berkata, tidak sukar dia mengakui kesilapan ekoran insiden berkenaan dan menganggap ia adalah tauladan buatnya pada masa hadapan.

Jelas Pekin, dia beruntung kerana pihak media dan peminat sentiasa memberikan sokongan positif kepadanya sepanjang kontroversi itu melanda dirinya.

"Ikutkan hati saya malas hendak komen mengenai isu berkenaan tetapi ia perlu dijelaskan kerana ia berpunca daripada kesilapan saya sendiri dan saya tidak mahu ia bertambah teruk tambahan pula apabila melibatkan keluarga kedua-dua belah pihak.

"Sebagai seorang manusia biasa saya perlu mengakui kesalahan saya dan menjadikan insiden itu sebagai satu pengajaran pada masa hadapan," katanya.

Tambah Pekin, dia bersyukur kejadian itu telah menguatkan lagi hubungannya dengan Uqasha dan lega apabila salah faham itu tidak lagi menjadi isu terutama di kalangan keluarga mereka.

Sementara itu, Pekin berkata, tunangnya itu telah mengadakan sebuah majlis hari jadinya di sebuah hotel di Subang Jaya pada malam Sabtu lalu dengan dihadiri oleh kenalan rapat mereka.

Pekin memberitahu dia sangat terharu dengan majlis berkenaan dan menganggap ia adalah sesuatu yang istimewa.

"Ia bukan lagi satu kejutan walaupun Uqasha ingin berbuat demikian tetapi saya memang terkejut apabila majlis yang diadakan itu sangat meriah dan saya cukup terharu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Pekin berkata dia baharu sahaja selesai menjalani penggambaran dua buah drama iaitu Kisah Sebenar Bibah dan Mata Hati selain sedang sibuk mempromosikan filem terbaharunya Tokan yang dijangka ditayangkan pada Disember ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan