Istana Budaya Azam Angkat Teater Tradisional

Diterbitkan: Jumaat, 25 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Rosnan (kiri) bersama Fatimah Abdullah
Rosnan (kiri) bersama Fatimah Abdullah

KUALA LUMPUR: Pihak Istana Budaya akan menjadikan pementasan teater tradisional dan bangsawan dalam kalender tahunannya bagi mengangkat seni tersebut yang mempunyai nilai tinggi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata penekanan itu akan dilaksanakan sejajar dengan usaha kerajaan untuk menarik golongan muda dan pelancong asing mengenali seni persembahan tersebut di Istana Budaya.

"Jika dilihat dari segi minat anak muda datang ke Istana Budaya untuk menonton teater tradisional sebelum ini yang sangat memberangsangkan, kita perlu giatkan lagi usaha memasukkan slot persembahan teater tradisional sebagai acara tahunan,” katanya kepada mStar Online.

Mohamed Juhari ditemui pada pelancaran Mak Yung Kesaktian Anak Raja Gondang yang diadakan di Istana Budaya di sini, Khamis.

Teater itu bakal menampilkan barisan pelakon seperti Rosnan Rahman, Vanidah Imran, Datin Sofia Jane, Sabri Yunus dan Sufian Bujang.

Ia bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya dari 29 November hingga 2 Disember 2013.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Juhari berkata, sejajar dengan hasrat tersebut pihaknya mengambil keputusan untuk mementaskan teater arahan Fatimah Abdullah itu di Panggung Sari selepas kali terakhir berbuat demikian pada 2003 menerusi teater Raja Tangkai Hati.

Jelasnya lagi, selain barisan pelakon hebat, makyung itu nanti turut memperlihatkan perubahan dari segi teknikal dengan penggunaan maksimum kecanggihan teknologi di Istana Budaya.

"Sebelum ini persembahan dan teater tradisional hanya dipentaskan di Laman Sari sahaja jadi sudah tiba masanya ia kembali memasuki Panggung Sari.

"Teknologi dan kecanggihan pentas di Istana Budaya mampu mengubah persembahan terutama dari segi teknikal supaya ia memberi kesan menarik sekali gus dapat menambah minat penonton," katanya.

Dalam pada itu, Fatimah memberitahu walaupun makyung itu nanti akan diubah dari segi teknikal namun keaslian jalan cerita dan konsep asal persembahan akan dikekalkan tanpa sebarang perubahan.

Malah dia sangat berbangga dengan prestasi yang ditunjukkan oleh dua pelakonnya iaitu Sofia dan Vanidah yang cepat menghayati dialek dan lenggok bahasa Kelantan.

"Ini adalah pementasan makyung yang terbesar pernah saya arahkan dan arah tuju persembahan setakat ini berjalan lancar ditambah dengan kredibiliti penari dan pelakon budaya Istana Budaya cukup mantap," ujarnya.

Sementara itu, pelakon utamanya, Rosnan berkata, menerusi pementasan itu juga dia turut memperkenalkan beberapa pelakon makyung terbaharu yang dilihat mempunyai potensi tinggi dalam menjadi pelapis persembahan tradisional itu.

Jelasnya, sudah tiba masa seni persembahan itu dipelopori golongan belia agar dapat menarik minat penonton baharu terutamanya remaja bagi mengenali keistimewaan makyung.

"Kalau pelakon lelaki setakat ini saya sahaja yang aktif sebagai ‘pakyung’ dan saya lihat ramai anak muda berminat dan berpotensi untuk meneruskan seni ini.

"Atas sebab itu juga kami menampilkan beberapa muka baharu untuk mengasah bakat mereka," katanya.

Makyung Kesaktian Anak Raja Gondang mengisahkan pengembaraan Anak Raja Gondang yang akhirnya sampai ke Negeri Hampa Beranyut.

Sebelum pengembaraan, baginda telah berpesan kepada bondanya, Puteri Gak Petera tentang petanda selasih yang ditanam di dalam pasu tiang seri istana iaitu jika pohon selasih itu layu di sebelah kiri bermakna dia dalam kesusahan dan sekiranya segar maka dia dalam kesenangan.

Maka bermulalah pengembaraan Anak Raja Gondang di mana dia telah bertemu dengan tujuh orang puteri ketika mereka bersiram di Kolam Banjaran. Anak Raja Gondang tatkala bertemu telah jatuh hati dengan Puteri Bongsu yang telah pun bertunang.

Tiket menyaksikan pementasan ini berharga RM253, RM103, RM73, RM53 dan RM33.

Ia boleh didapati di AirAsiaRedTic.com atau di kaunter BoxOffice, Istana Budaya.

iklan

Video

Isnin, 23 Oktober 2017 5:54 PM

Adam, Ezlynn Tuduh Menuduh! Mana Satu Betul?

Isnin, 23 Oktober 2017 4:10 PM

Kiriman Akhir Sebelum Karam

Isnin, 23 Oktober 2017 2:30 PM

Mona Bukan Kehidupan Saya - Shahir

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Kolumnis

iklan

Iklan