Gelaran Datuk Bukan Tiket Untuk Jamal Bersikap Angkuh

Diterbitkan: Jumaat, 25 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Jamal Abdillah menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) pada Khamis di Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang.
Jamal Abdillah menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) pada Khamis di Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang.

PETALING JAYA: Penyanyi Jamal Abdillah menyifatkan darjah kebesaran bergelar Datuk yang diterimanya daripada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bukanlah tiket untuk beliau bersikap angkuh.

Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 54, berkata, gelaran yang dibawa merupakan satu tanggungjawab besar pada dirinya untuk masyarakat malah tidak mengharapkan orang sekeliling memanggilnya dengan gelaran itu.

"Saya tidak mempunyai masalah pun sama ada orang mahu memanggil saya sebagai 'Datuk' atau tidak. Gelaran ini sebenarnya satu amanah yang sangat besar di mana ia bukan sekadar untuk panggilan harian semata-mata.

"Tetapi lebih kepada tuntutan berbakti kepada masyarakat. Bukannya nak bersikap angkuh dengan status itu. Saya bukan hanya perlu membangunkan industri seni tanah air tetapi juga melakukan sesuatu yang boleh memberikan faedah kepada masyarakat," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Jumaat.

Penyanyi yang mendapat jolokan 'Raja Pop' itu pada Khamis menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) bergelar Datuk pada Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, pekan, Pahang pada Khamis.

Selain Jamal, dua selebriti lain turut menerima anugerah yang sama iaitu penyanyi Indonesia, Rossa atau nama sebenarnya Sri Rosa Roslaina Handiyani serta penyanyi 1990-an, Elaine Kang.

Sementara itu, beritahu Jamal, dia juga merancang untuk membantu Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) mengadakan sebuah konsert jelajah di beberapa lokasi di Malaysia.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Kekasih Awal Dan Akhir itu, dia dan pihak Pengasih ingin berkongsi pengalaman dan maklumat mengenai bahayanya penggunaan dadah kepada seluruh masyarakat.

"Sudah lama saya ingin membuat sebuah kebajikan berkaitan dengan masalah dadah yang semakin membelenggu masyarakat kita. Saya rasa, dengan penyebaran maklumat yang diberi, sedikit sebanyak kita dapat mengurangkan penagih dadah di negara ini.

"Dalam pada itu menerusi konsert tersebut, terdapat juga persembahan nyanyian sebagai hiburan kepada pengunjung yang hadir," ujarnya.

Dalam perkembangan lain Jamal bakal mengadakan persembahan di Kelantan pada Disember depan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan