Fara Fauzana & Neelofa Rasai Keindahan Pulau Maldives

Diterbitkan: Selasa, 22 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Neelofa (kiri) dan Fara Fauzana.
Neelofa (kiri) dan Fara Fauzana.

MALE ATOLL SELATAN (MALDIVES): Pengacara Nona iaitu Fara Fauzana dan Neelofa buat pertama kalinya merasai peluang bercuti bersama di sebuah pulau eksklusif di Maldives di sini selama lima hari bermula 18 Oktober lalu.

Fara dan Neelofa mendapat peluang itu sebagai memenuhi undangan syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia X yang memperkenalkan destinasi terbaharu mereka di pulau berkenaan sejak 28 September lalu.

Kedua-dua artis tersebut turut menikmati layanan lima bintang di Holiday Inn Resort, Kandooma di sini yang terletak kira-kira 45 minit perjalanan dengan bot dari ibu negara pulau berkenaan iaitu Male.

Fara atau nama sebenarnya Farah Fauzana Mohd Fadzil, 33, berkata, dia benar-benar terpesona dengan keindahan pulau tersebut terutama sekali apabila melihat kejernihan air laut serta pasir pantai yang putih.

Katanya, keunikan pulau berkenaan amat berbeza berbanding beberapa pulau peranginan lain yang pernah dikunjunginya sebelum ini.

"Saya benar-benar terpesona dengan keindahan air laut di Maldives ini. Saya seorang yang gemarkan aktiviti pantai dan apabila diberi peluang untuk berada di pulau tercantik ini, ia satu pengalaman yang benar-benar luar biasa," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di sini pada Isnin.

Fara berkata, sebagai seorang selebriti dan juga penyampai radio yang sentiasa sibuk, peluang merehatkan fikiran di sebuah pulau yang jarang sekali dapat dikunjungi adalah satu pengalaman cukup bermakna.

Fara berkata, sepanjang lima hari percutiannya, dia mampu melupakan segala masalah dan menghilangkan tekanan pejabat ditambah pula minatnya terhadap laut dan juga pantai.

"Saya seorang yang meminati panorama lautan serta pantai dan aktiviti ini benar-benar membuatkan saya menjadi lebih tenang," ujarnya.

Ujar Fara, sepanjang berada di pulau ini, dia diberi peluang memancing pada waktu malam, 'snorkling' serta melakukan aktiviti-aktiviti pantai.

Malah ujarnya, peluang bercuti itu juga digunakan untuk berehat sepenuhnya selepas dia diarahkan bercuti oleh doktor kira-kira dua minggu bermula 9 Oktober lalu akibat masalah suara yang dialaminya.

Sementara itu, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 24, pula berkata Maldives merupakan salah satu pulau tercantik yang menjadi cita-citanya untuk bercuti sejak sekian lama.

Ujar Neelofa, selepas diberi peluang menyertai percutian berkenaan oleh AirAsia X, dia dapat melihat satu pemandangan yang benar-benar berbeza berbanding pualu-pulau lain yang pernah dikunjunginya sebelum ini.

"Saya pernah bercuti ke Bali (Indonesia), Phuket, Krabi dan Koh Samui (Thailand) dan kali ini ke destinasi yang agak jauh iaitu Maldives. Saya dapat melihat pulau ini amat cantik. Sebab itulah pulau ini sentiasa menjadi perhatian bagi mereka yang meminati aktiviti laut serta destinasi berbulan madu kerana suasananya juga romantik," katanya.

Neelofa memberitahu, dia juga berpeluang menyertai aktiviti selam skuba, serta pakej tajaan seperti menancing serta tinggal di sebuah vila atas air yang tinggi kosnya.

Apa yang lebih menarik kata Neelofa, tidak sukar baginya untuk berada di pulau ini kerana majoriti penduduknya adalah Muslim yang tentunya tidak mempunyai masalah bagi mendapatkan makanan halal.

"Makanan halal adalah salah satu perkara penting ketika kita bercuti dan Alhamdulillah… Maldives merupakan sebuah negara Islam dan mudah bagi kita yang beragama Islam untuk bercuti," kata Neelofa.

Lebih menarik jelas Neelofa dia dapat melihat ikan-ikan yang berbeza saiz dan rupa bentuknya selain berpeluang memberi makan kepada beberapa ikan jerung.

Dalam pada itu Ketua Bahagian Pemasaran AirAsia X, Mohd Fairuz Abdul Majid berkata, syarikat penerbangan itu membuka laluan sebanyak empat kali seminggu ke destinasi berkenaan iaitu pada hari Selasa, Khamis, Jumaat dan Ahad.

Ujarnya, selepas diperkenalkan pada 28 September lalu, sambutan diterima pihaknya agak luar biasa khususnya bagi mereka yang meminati aktiviti-aktiviti pantai.

"Kami yakin, destinasi baru ini akan mendapat sambutan ramai kerana Maldives merupakan sebuah pulau yang menjadi kegilaan ramai selain pulau-pulau di Thailand dan Indonesia," ujarnya.

Menurut Fairuz, apa yang menjadi masalah apabila orang ramai sering menganggap kos yaag tinggi diperlukan untuk bercuti ke pulau ini sedangkan banyak hotel bajet boleh ditempah serendah RM150 bagi satu malam.

Justeru katanya, pihak AirAsia X akan terus mempergiatkan promosi untuk mempopularkan destinasi pelacongan terbaharu ini dalam rangkaian penerbangan jauh syarikat itu.

iklan

Video

Jumaat, 18 Ogos 2017 8:00 AM

#akuStar: Slash - Melodi Kasih

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Kolumnis

iklan

Iklan