Zed Zaidi Buat Tuduhan Terhadap MIG Tanpa Membaca Kontrak

Diterbitkan: Sabtu, 19 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

David Teo menunjukkan surat yang diemelkan oleh Seniman dan salinan kontrak artis naungan MIG.
David Teo menunjukkan surat yang diemelkan oleh Seniman dan salinan kontrak artis naungan MIG.

PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MIG), David Teo menyifatkan dakwaan Zed Zaidi yang menganggap isi kandungan kontrak MIG tidak membenarkan artis naungannya bercinta dan berkahwin telah melanggar hak asasi manusia, sudah menjatuhkan nama baik syarikatnya.

David berkata, Zed yang juga merupakan Presiden Persatuan Seniman (Seniman) itu tidak sepatutnya bertindak membuat kenyataan secara terburu-buru memandangkan dia tidak membaca sepenuhnya kontrak berkenaan.

"Kalau nak tahu dia (Zed) telah menghantar surat menerusi emel ingin mendapatkan salinan kontrak pada pagi tadi (Jumaat). Nampak tak? Maksudnya dia menuduh syarikat saya tanpa membaca kontrak itu.

"Saya akan mengambil tindakan sewajarnya jika ia menjejaskan perniagaan syarikat saya. Ini kerana kenyataannya itu sedikit sebanyak telah menjatuhkan nama baik MIG," tegasnya.

David ditemui pada sidang media pengumuman tarikh nikah artis naungannya, Diana Amir di pejabat MIG, dekat sini pada petang Jumaat.

Pada Rabu lalu, Zed Zaidi menerusi sebuah akhbar tempatan telah menyelar isi kandungan kontrak MIG yang didakwa telah melanggar hak asasi manusia dan meminta pihak MIG memansuhkan kontrak itu

Kata Zed, sekiranya syarikat tersebut tidak berbuat demikian, Seniman akan segera membuat laporan polis dan membawakan isu tersebut kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

Zed bercakap demikian selepas kontroversi status perkahwinan pasangan Aeril Zafrel dan Wawa Zainal yang dirahsiakan kononnya hubungan cinta mereka dihalang MIG.

Sementara itu, David memberitahu, kenyataan Zed adalah bersifat peribadi dan hanya menggunakan nama Seniman sebagai ingin menggunakan kuasanya.

"Dia hanya menggunakan nama Seniman memfitnah syarikat saya dengan cara yang tidak sopan. Sedangkan apa yang dinyatakan lebih bersifat peribadi.

"Jika benarlah dia mewakili Seniman, sudah pasti dia telah membuat perbincangan bersama ahli lain sebelum membuat kenyataan kepada media.

"Dalam surat yang diberikan, dia juga menyampaikan hasrat ingin membuat pertemuan dan perbincangan bersama. Sudahlah dia menjatuhkan maruah MIG, baru sekarang nak jumpa? Dan baru sekarang mahu membaca kontrak kami?" soal David.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan