Khir Rahman Terap Nilai Komersial & Seni Dalam 'Balada Pencinta'

Diterbitkan: Jumaat, 18 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Johan dan Saleha dalam 'Balada pencinta'.
Johan dan Saleha dalam 'Balada pencinta'.

PETALING JAYA: Pengarah Khir Rahman gembira filem arahannya iaitu Balada Pencinta berjaya diterapkan mengikut caranya yang tersendiri dengan menggunakan unsur komersial dan seni.

Khir atau nama sebenarnya Khairulizam Abdul Rahman berkata, dia sengaja ingin melarikan konsep bahasa seni yang sering digunakan sebagai mahu mengubah strategi dalam menarik perhatian penonton.

"Inilah kali pertama saya cuba lari sedikit daripada pendekatan metafora seni dalam filem. Masih lagi mengekalkan konsep seni, tetapi saya mengubah strategi pengarahan dengan menerapkan elemen komersial pula.

"Saya lebih memberi fokus tentang dunia cinta remaja yang penuh dengan kebahagiaan dalam jiwa. Dan setiap babak dalam filem ini saya cuba masukkan momen cinta pasangan manusia sebenar," katanya.

Khir ditemui pada majlis pratonton filem Balada Pencinta di e@Curve, di sini pada Khamis bersama barisan pelakon Sein (Ruffedge), Siti Saleha, Azhan Rani, Bell Ngasri dan Johan As'ari.

Tambah Khir, ia bukan mudah baginya untuk menggabungkan elemen seni dan komersial dalam filem tersebut, namun dia menganggap ia antara cabaran yang harus dilalui terutamanya daripada segi keseimbangan plot cerita dan sinematografi.

"Saya harap, formula yang digunakan dapat mendidik masyarakat untuk memahami lebih mendalam tentang seni filem dan percaya Balada Pencinta sebagai permulaan pertama untuk mengajar penonton.

Balada Pencinta yang merupakan filem aksi romantik ini mengisahkan tentang cinta terlarang antara bekas gangster, Amir (Johan) dan Aishah (Siti Saleha).

Percintaan Amir dan Aishah menjadi rumit apabila ibu bapa Aishah mahu dia berkahwin dengan Boy (Sein), seorang lelaki yang berlatarbelakangkan keluarga kaya yang juga merupakan ketua kumpulan kongsi gelap.

Filem terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) itu bakal ditayangkan bermula 24 Oktober ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan