Syafiq Kyle Jelaskan Hubungan Dengan Jue Aziz

Diterbitkan: Selasa, 8 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Syafiq menjelaskan hubungannya dengan pelakon Jue Aziz sekadar teman rapat.
Syafiq menjelaskan hubungannya dengan pelakon Jue Aziz sekadar teman rapat.

PETALING JAYA: Pelakon baharu Syafiq Kyle mengaku mempunyai hubungan rapat dengan aktres Jue Aziz dan tidak menolak gosip mereka pernah dilihat keluar bersama.

Bagaimanapun Syafiq atau nama sebenarnya Syafiq Shamim Abdul Razak, 21, berkata, hubungan berkenaan tidak lebih daripada seorang sahabat.

"Saya dengan dia (Jue) memang berkawan. Benar kami pernah keluar bersama dan perkenalan kami bermula selepas saya berkawan dengan pengurus peribadinya.

"Saya rasa tidak ada apa-apa masalah pun dengan hubungan itu kerana kami hanyalah teman rapat," katanya kepada mStar Online.

Baru-baru ini, Syafiq dikatakan sering keluar dengan Jue atau nama sebenarnya Zuliana Abd Aziz, 30.

Malah kedua-dua mereka saling memuatkan beberapa foto di dalam laman sosial Instagram.

Dalam pada itu Syafiq berharap para peminatnya tidak memberi pandangan negatif terhadap pengakuannya itu walaupun melihat mereka keluar bersama selepas ini.

Selain itu, Syafiq juga meminta agar diberi sedikit ruang untuk tidak terlalu berkongsi kisah peribadinya kepada umum sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada aktiviti-aktiviti seni.

Dalam perkembangan lain, Syafiq kini masih sibuk dengan penggambaran drama Tanah Kubur selain menanti untuk tatangan telefilem untuk sambutan Hari Raya Aidiladha iaitu Kampungku Aidiladha.

Dia juga sibuk dengan rancangan Liga Lawak Superstar yang disiarkan setiap Ahad, pukul 9 malam di TV3.

Masih lagi baharu dalam industri lakonan, Syafiq gembira apabila penerbit drama amat menyenanginya dan sehingga kini dia sering menerima pelbagai tawaran lakonan.

"Alhamdulillah, saya masih lagi baru dan banyak perkara yang perlu dipelajari. Terus terang, saya memang tidak dikenali tetapi tawaran lakonan ada saja yang datang.

"Dan saya ambil peluang tawaran berlakon itu dengan mengasah bakat saya untuk menjadi lebih baik. Insya-Allah lakonan saya dapat diterima ramai," tuturnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan