Karl Shafek Bimbang Terkena Badi Lelaki Lembut

Diterbitkan: Jumaat, 4 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Karl bimbang watak lelaki lembut akan menjadi badi kepada karier lakonannya.
Karl bimbang watak lelaki lembut akan menjadi badi kepada karier lakonannya.

PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Karl Shafek bimbang watak lelaki lembut yang dipegangnya menerusi teater Maduku Kalut sebelum ini akan menjadi badi kepada karier lakonannya.

Karl atau nama sebenarnya Khairul Shafe Ibrahim, 33, berkata, walaupun dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk membawa peranan berkenaan namun sebagai pelakon baharu dia ingin mewarnakan lakonannya dengan pelbagai watak lain.

"Jujur saya bimbang watak lelaki lembut itu akan menjadi badi dan hanya akan ditawarkan berlakon sebagai 'adik-adik' sahaja selepas ini.

"Sebagai pelakon baharu yang ingin bertapak dalam bidang ini saya tidak boleh tertumpu kepada sesuatu watak sahaja dan ingin mencuba pelbagai watak lain," katanya kepada mStar Online.

Karl baharu sahaja muncul dalam teater Maduku Kalut dan memegang watak lelaki lembut iaitu Amy Amiro yang telah dipentaskan di Lambang Sari Istana Budaya dari 27 hingga 1 Oktober lalu.

Selain Karl, teater arahan Muhammad Azhar Zainal itu turut dibintangi oleh Izzue Islam, Nad Zainal dan Jehan Musa.

Tambah Karl, dia bukan bersikap 'demand' sebaliknya tidak mahu dilabel sebagai pelakon ‘stereotype’ sekiranya sering membawa watak berkenaan.

"Saya juga bukan malu sekiranya sering diberikan watak lelaki lembut tetapi masih banyak sisi lain saya sebagai pelakon yang belum saya tonjolkan kepada penonton," jelasnya.

Sementara itu, Karl mengakui bukan mudah untuk melakonkan watak sebagai lelaki lembut dan telah melakukan pelbagai kajian dan latihan.

"Penonton mungkin berpendapat membawakan watak itu mudah tetapi sebenarnya tidak kerana saya perlu memahami cara mereka bercakap dan lenggok mereka supaya penonton mempercayai lakonan saya.

"Namun saya bersyukur apabila lakonan saya menerusi teater tersebut diterima baik oleh penonton dan banyak juga yang memberikan maklum balas positif kepada saya," ujarnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan