2,800 Tentera Darat Jadi Pelakon Drama Arahan Jurey

Diterbitkan: Ahad, 29 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Jurey menyifatkan pengalaman bekerja bersama barisan tentera yang disifatkan cukup berdisiplin akan memudahkan kerja-kerja penggambaran.
Jurey menyifatkan pengalaman bekerja bersama barisan tentera yang disifatkan cukup berdisiplin akan memudahkan kerja-kerja penggambaran.

KUALA LUMPUR: Pengarah drama Jurey Latiff Rosli bakal mengarahkan sebuah drama kenegaraan berjudul Demi Negara: Darah Merah Melakar Sejarah membabitkan kira-kira 2,800 anggota tentera darat.

Jurey berkata, ini merupakan pengalaman pertamanya apabila bersama barisan tentera yang disifatkan cukup berdisiplin dalam melaksanakan sesebuah kerja dan yakin kerja pengarahannya akan menjadi lebih mudah.

"Seramai 2,800 orang tentera darat akan terlibat dalam drama berepisod ini di mana setiap episod akan dilakonkan oleh anggota tentera yang berbeza

"Walaupun mereka tiada pengalaman berlakon, saya percaya mereka dapat memberikan komitmen sepenuhnya," katanya.

Jurey ditemui pada majlis pelancaran drama berkenaan di Wisma Transit, Kementerian Pertahanan (Mindef) di sini pada Jumaat.

Tambah Jurey, penggambaran yang mengambil masa selama 52 hari itu sekali gus akan mengajar krew produksi serta pelakon mengenai disiplin masa di mana para tentera cukup dikenali dengan sifat kerja yang teratur.

Drama yang mengisahkan tentang perjuangan perajurit Tentera Darat menentang komunis tersebut turut melibatkan pelakon antaranya Isma Daniel, Norman Hakim dan Shajiri.

Ia bakal menjalani penggambaran bermula 3 Oktober depan.

Sementara itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mihamed Noor berkata, karya tersebut merupakan penerbitan keempat di bawah kerjasama Tentera Darat selepas drama Insurgensi, Kemboja Di Laman Chin Peng dan filem Leftenan Adnan.

Tujuan penerbitan drama ini adalah untuk mengimbas semula sejarah pengorbanan Tentera Darat yang berjuang menentang komunis demi mengekalkan keamanan negara.

"Memandangkan drama ini sarat dengan sejarah, Kolonel Mohd Radzi Abdul Hamid selaku penulis skrip berjaya menulis semula 13 peristiwa pertempuran Tentera Darat di mana ia mengambil masa selama lapan bulan untuk mengumpulkan data dan fakta.

"Malah, bagi menentukan ketetapan skrip, pihak kami turut mengadakan bengkel khas selama lapan hari untuk meneliti dan memperbaiki skrip tersebut," ujarnya.

Dalam pada itu, penggambaran bakal diadakan di Kem Tapah, Perak memandangkan lokasi berkenaan mempunyai keperluan penggambaran drama daripada segi suasana dan persekitaran hutan selain bantuan logistik sepanjang penggambaran dijalankan.

Selain itu, drama tersebut turut melibatkan penggunaan helikopter Sikorsky S-61A-4 atau lebih dikenali sebagai Nuri yang sinonim dengan operasi-operasi Tentera Darat.

Demi Negara: Darah Merah Melakar Sejarah bakal ditayangkan menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM)

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan