Mislina Mustaffa Perjelaskan Tuduhan Tidak Percaya Agama

Diterbitkan: Sabtu, 21 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Mislina tidak mengambil kisah mengenai kritikan orang terhadap dirinya.
Mislina tidak mengambil kisah mengenai kritikan orang terhadap dirinya.

PETALING JAYA: Pelakon dan aktivis teater, Mislina Mustaffa tidak mengambil peduli tuduhan kononnya dia tidak percaya kepada agama (free thinker) sejak video wawancaranya yang mempersoalkan mengenai agama Islam tersebar sebelum ini.

Mislina, 40, berkata, dia tidak pernah membuat sebarang kenyataan untuk mengesahkan mengenai dakwaan tersebut dan meminta masyarakat tidak mengkritiknya tanpa mengetahui situasi sebenar.

"Saya tidak pernah ambil tahu apa yang orang ingin katakan mengenai saya kerana itu tidak penting. Begitu juga dengan isu tidak percaya pada agama.

"Orang yang membuat tuduhan itu tidak sepatutnya berbuat demikian kerana mereka tidak layak untuk menjatuhkan hukum tanpa menyiasat perkara sebenar," jelasnya kepada mStar Online.

Mislina baharu sahaja melancarkan buku pertamanya berjudul Homeless by Choice iaitu catatan tentang pengalamannya hidup tanpa rumah dan sebagai gelandangan selama 630 hari.

Buku tersebut dilancarkan oleh aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir di Publika Solaris Dutamas pada Khamis lalu.

Ia dijual dengan harga RM40.

Dalam perkembangan sama, Mislina berkata, dia mengambil masa selama dua tahun untuk menyiapkan buku tersebut yang banyak menceritakan pengalamannya sepanjang hidup tanpa rumah.

Malah kata Mislina, dia berazam untuk terus menulis selepas ini kerana ia dapat membantunya mengenali diri selain meluahkan tentang pelbagai aspek kehidupan.

"Saya sudah lama berhasrat untuk menulis sebuah buku tetapi tidak mempunyai idea tentang apa yang ingin diperkatakan.

"Pengalaman menjadi gelandangan dan tidak mempunyai rumah memberikan banyak inspirasi sehingga terbitnya buku pertama ini," katanya.

Dalam pada itu, Mislina berkata, dia akan tetap meneruskan hidup sebagai gelandangan dan tidak berhasrat untuk kembali kepada kehidupan normalnya.

Dia juga selesa dengan cara hidup sedemikian yang disifatkan banyak memberi pengajaran dan membuka kebolehan dirinya dalam melakukan sesuatu.

"Saya tidak pernah menetapkan bila saya akan kembali dengan kehidupan normal tetapi buat masa ini saya seronok dan selesa hidup tanpa rumah.

"Bagaimanapun keputusan itu bergantung kepada keadaan dan saya tidak boleh memberi jaminan sampai bila akan menjalani hidup sebegini," jelasnya.

Menceritakan pengalaman hidup sebagai gelandangan, Mislina berkata, dia akan menumpang tidur di rumah kenalan atau orang yang tidak dikenali dan akan meneruskan perjalanan dari satu destinasi ke destinasi lain.

"Sepanjang dua tahun setengah ini saya tinggal di rumah kawan atau pun orang yang tidak dikenali malah pernah tidur di tepi pantai. Pengalaman itu sebenarnya tidak sukar malah cukup menginsafkan.

"Tambahan pula, apabila tidak mempunyai rumah atau harta saya mendapati diri saya tidak lagi terlalu bergantung harap kepada perkara lain tetapi kepada kemampuan diri sendiri dan saya terkejut dengan apa yang sudah saya lakukan sepanjang tempoh tersebut," ujarnya.

Sementara itu, Mislina berkata, dia masih bergelar pelakon dan ramai pengarah dan pihak produksi yang menawarkan peranan dalam drama atau pun filem.

Bagaimanapun dia kini lebih selektif dengan watak yang diberikan dan hanya akan menerima beberapa projek sahaja dalam masa setahun.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan