Lisa Surihani Minta Syamsul Yusof Jangan Berhenti Mengarah

Diterbitkan: Ahad, 15 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Lisa berharap Syamsul akan meneruskan perjuangan dalam bidang seni.
Lisa berharap Syamsul akan meneruskan perjuangan dalam bidang seni.

PETALING JAYA: Pelakon Lisa Surihani berharap pengarah filem KL Gangster 2 iaitu Syamsul Yusof tidak cepat berputus asa dan mengalah akibat terlalu kecewa apabila karya tersebut tersebar di internet sebelum ditayangkan pada Oktober depan.

Lisa, 27, berkata, dia berharap Syamsul akan meneruskan perjuangan dalam bidang seni dan bukannya mengalah kepada situasi yang menimpa kepada filem itu.

"Sayang jika Syamsul ingin meninggalkan dunia pengarahan kerana hasil kerjanya adalah hebat dan dia adalah pengarah berbakat besar dan sebagai rakan artis saya minta di jangan berputus asa dan teruskan perjuangan.

"Syamsul juga pewaris Skop Production dan tidak sepatutnya dia bersara dan perlu bangkit dengan karya-karya yang lebih hebat pada masa hadapan," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Lisa berkata, dia bagaimanapun bersimpati dengan kejadian yang menimpa kepada filem KL Gangster 2 dan mengakui terkejut apabila mendapat tahu karya berkenaan bocor di internet sebelum ia ditayangkan.

Malah Lisa menyifatkan kejadian itu sebagai tidak patut berlaku dan berharap jenayah ini akan dapat dibanteras supaya dapat melindungi pengkarya filem di negara ini.

"Isu cetak rompak dan memuat naik filem secara haram di internet sangat menyedihkan dan ia boleh berlaku kepada sesiapa juga dalam industri ini.

"Saya berharap dalang disebalik penyebaran KL Gangster 2 akan dicekup oleh polis dan tindakan sewajarnya perlu diambil bagi memberi pengajaran kepada yang lain," tuturnya.

Lisa juga menyeru supaya masyarakat memberi sokongan penuh kepada industri filem tempatan kerana dengan cara tersebut ia dapat mempertahankan industri tersebut.

"Apabila suami saya menyertai kempen anti cempak rompak saya mahu turut serta kerana untuk memberi sokongan kepada industri perfileman dan masyarakat juga boleh berbuat demikian," tuturnya.

Minggu lalu, bapa pelakon itu Datuk Yusof Haslam dan Syamsul melahirkan perasaan marah apabila lebih 70 peratus hasil filem berkenaan telah disebarkan di laman Internet sebelum tayangan.

Langkah itu boleh menyebabkan kerugian besar kepada penerbit filem jika orang ramai tidak menonton kerana ia telah disebarkan lebih awal secara haram.

Kos pembikinan filem itu menelan belanja kira-kira RM4.5 juta.

Insiden itu membuatkan Syamsul membuat keputusan untuk berhenti mengarah filem sehingga menimbulkan perasaan risau Yusof.

Malah dia turut tidak hadir ke previu filem itu di TGV One Utama di sini, Isnin lalu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan