Michelle Yeoh Lancar Kempen Street Watch iM4U

Diterbitkan: Ahad, 8 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mentor 1Malaysia For Youth (iM4U) Tan Sri Michelle Yeoh hari ini melancarkan kempen Street Watch iM4U untuk memerangi jenayah dan meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan wanita khususnya di kawasan yang wanita mudah menjadi sasaran.

Aktres antarabangsa itu berkata ini merupakan inisiatif pertamanya selepas dilantik sebagai mentor iM4U.

Katanya, ia bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mengikrarkan sokongan terhadap kempen "Keselamatan Wanita dan Menghormati Wanita".

"Saya percaya adalah penting untuk mendidik masyarakat dan memupuk sikap proaktif dalam kalangan rakyat Malaysia untuk menjadikan negara kita tempat yang lebih selamat untuk semua.

"iM4U turut membangunkan siri lima ikrar dan lima petua untuk dikongsi menerusi platform media khas dan promosi dengan sokongan RapidKL dalam pelbagai pengangkutan dan rangkaiannya," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Pada pelancaran itu, Yeoh menyertai kira-kira 20 sukarelawan mengedarkan pek keselamatan mengandungi satu wisel dan kad petua keselamatan kepada penumpang wanita dalam Transit Aliran Ringan (LRT).

Sementara itu, Pengarah Events and Outdoor Activation, Moots Marimuthu berkata menerusi kerjasama dengan RapidKL, mereka akan menganjurkan pelbagai program kesedaran keselamatan termasuk menempatkan sukarelawan iM4U di stesen LRT terpilih untuk membantu mengiringi wanita ke kenderaan mereka sekiranya perlu.

"Kami mahu orang lebih prihatin dan berwaspada dengan keadaan di persekitaran mereka. Mereka patut melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan," ujarnya.

Pengarah Kumpulan Perkhidmatan Infrastruktur Syarikat Prasarana Negara Berhad Masnizam Hisham berkata syarikat itu komited dalam memastikan keselamatan pelanggan mereka dan akan memastikan mereka selesa menggunakan perkhidmatan LRT. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan