Kaka Bimbang Buat Keputusan Salah Hasilkan Album

Diterbitkan: Rabu, 4 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Kaka memberitahu ingin memberi fokus kepada penghasilan single berbanding album penuh.
Kaka memberitahu ingin memberi fokus kepada penghasilan single berbanding album penuh.

PETALING JAYA: Penyanyi Kaka masih belum bersedia untuk merakamkan album penuh seperti mana artis lain kerana bimbang ia satu keputusan yang salah apabila tidak mendapat sambutan peminat.

Pemilik nama penuh Nor Atiqa Azraff, 24, berkata, dia hanya bersedia berbuat demikian selepas muzik yang ingin diperkenalkan kepada pendengar benar-benar mendapat perhatian mereka sebelum muncul dengan album sulungnya.

"Saya muncul dalam industri ini hanya berbekalkan dengan lagu Bawaku Pergi. Walaupun lagu itu mendapat sambutan hebat daripada peminat ia bukan kayu pengukur untuk saya tampil dengan album penuh.

"Masih terlalu awal saya berbuat demikian kerana merasakan pendengar masih belum cukup mengenali saya sebagai penyanyi dan muzik yang ingin saya bawa," jelasnya kepada mStar Online.

Dalam perkembangan sama, Kaka berkata, dia kini lebih selesa tampil dengan lagu single bagi menguatkan namanya sebagai penyanyi ditambah pula dengan keadaan semasa industri muzik yang tidak menentu.

Jelas Kaka, cara itu lebih memudahkannya untuk memberi fokus terhadap kerja-kerja mempromosikan lagu yang dilancarkan berbanding album.

"Mungkin lepas melancarkan beberapa album saya akan kumpulkan untuk dimuatkan dalam sebuah album dengan menampilkan beberapa buah lagu baru.

"Dengan cara itu mungkin dapat menarik minat peminat membeli album," katanya yang bakal melancarkan single solonya berjudul Terpulanglah dalam masa terdekat.

Sementara itu, Kaka berkata, dia bersyukur dapat bernaung di bawah syarikat WireFame Entertainment Sdn Bhd yang dimiliki oleh Zizan Razak dan yakin pihak pengurusannya itu dapat membawa kerjaya seni ke tahap lebih baik.

"Setakat ini saya berpuas hati dengan pengurusan WireFame dalam mempromosikan kerjaya saya sehingga dikenali seperti sekarang malah kami semua sangat rapat di antara satu sama lain dan bekerja seperti keluarga," jelasnya yang ingin mencuba bidang pengacaraan jika diberi peluang.

Selain Kaka dan Zizann sendiri, syarikat pengurusan tersebut turut menguruskan kerjaya seni pelakon Emma Maembong, Cha Cha Maembong dan Johan As'ari.

Dalam perkembangan lain, Kaka berkata, dia kini sedang sibuk mempromosikan single terbaharunya bersama Zizan Razak berjudul Infiniti Cinta.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan