Lantang Bersuara Membuatkan Ezany Ditakuti Produser

Diterbitkan: Isnin, 26 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Ezany
Ezany

PETALING JAYA: Sikap lantang bersuara secara umum mengenai isu duit gaji kru dan artis yang tidak dibayar sejak akhir-akhir ini membuatkan pelakon Ezany Nizariff mula ditakuti sesetengah produser drama.

Ezany, 40, berkata, walaupun dia mungkin tidak akan menerima sebarang tawaran lakonan daripada beberapa produser yang kurang senang dengan caranya, ia langsung tidak menjadi masalah buat dirinya kerana percaya pihak terbabit pasti tidak jujur dengan tawaran yang diberikan.

"Saya lantang bersuara bagi menegakkan perkara yang benar dimana ingin meminta hak saya serta kru-kru produksi yang tertindas.

"Dan dilihat ada pihak yang takut dengan saya kerana terlalu lantang. Malah mana-mana produksi yang masih ada tunggakan gaji dengan saya, mereka cepat-cepat jelaskan bayaran saya serta kru-kru dan artis lain.

"Ada juga yang takut nak beri tawaran berlakon kepada saya. Bagi saya, orang yang takut itu sebenarnya tidak jujur dan profesional dalam kerja," katanya.

Tambah Ezany, kekerapan dia serta beberapa artis lain yang sering mendedahkan pelbagai isu berkaitan masalah produksi membuatkan pihak produser lain juga mula buka mata dan berjaga-jaga agar syarikat masing-masing tidak terjejas dengan kontroversi terutamanya mengenai hal tuntutan gaji.

"Mungkin tidak ramai (artis) yang berani ke hadapan untuk meminta wang gaji mereka yang tertunggak, tetapi saya sanggup ke muka pengadilan sekiranya perlu bagi membantu artis-artis, kru termasuklah diri saya sendiri agar tidak dipijak-pijak sewenang-wenangnya oleh produser yang yang cuba mahu mengambil kesempatan.

"Dan Alhamdulillah, saya dapat lihat ramai produser yang sebelum ini kurang profesional mula teliti dalam kerja masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Ezany bakal muncul menerusi drama Persetua Lara yang akan disiarkan pada 27 Ogos ini, pukul 10 malam menerusi saluran TV2.

Persetua Lara yang juga lakonan Sherry Merlis, Zarina Zainuddin dan Razali Hussain merupakan sebuah drama yang menilai maksud bebas merdeka dari tiga latar masa berbeza iaitu pada zaman darurat Tanah Melayu (1948), zaman kegawatan ekonomi (1987) dan tahun 2008.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan