Ilmu Undang-Undang Beri Kelebihan Kepada Awi Rafael

Diterbitkan: Selasa, 13 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Awi Rafael
Awi Rafael

PETALING JAYA: Penyanyi Awi Rafael mengakui ilmu perundangan yang dipelajarinya hampir lima tahun di James Cook, University, Singapura memberi kelebihan kepadanya sebagai seorang anak seni.

Awi atau nama sebenarnya Muhammad Nabawi Gunawan, 27, berkata, walaupun tidak secara langsung mengaplikasikan ijazah yang diperolehinya sebagai kerjaya, namun ia banyak memberi panduan kepadanya dalam industri ini.

"Walaupun tidak menceburi bidang ini, saya masih mengaplikasikannya dalam kehidupan dan kerjaya saya sekarang.

"Setiap kontrak yang saya tandatangani saya tahu apa hak dan kelebihannya, begitu juga dengan pelaburan yang saya buat untuk masa hadapan," katanya kepada mStar Online.

Tambah Awi, selepas tamat belajar, dia pernah ditawarkan bekerja di sebuah syarikat guaman di Singapura namun terpaksa menolak tawaran tersebut semata-mata mengejar cita-citanya.

"Selepas belajar saya beri kad dan ijazah saya semua pada ibu, kerana saya belajar untuk ibu tapi hati saya adalah untuk menjadi seorang penyanyi.

"Ramai juga pak cik dan mak cik yang menganggap keputusan saya itu merugikan kerana melepaskan peluang tersebut semata-mata untuk menyanyi.

"Tapi saya nekad dan ibu pula merestuinya," katanya.

Kata Awi, biarpun tidak terlibat dalam bidang tersebut, namun dia kini berjinak-jinak dengan pelbagai pelaburan hartanah untuk masa depan.

"Saya gunakan ilmu undang-undang itu sebagai cara untuk saya melakukan pelaburan dan perniagaan.

"Untuk cari duit tidak perlu kita jadi duta pelbagai produk tapi buat pelaburan-pelaburan dengan bijak," katanya.

Jelas Awi, dia kini bersyukur setelah hampir tiga tahun berada dalam industri seni ini, dia sudah mampu mengumpul sedikit aset dengan titik peluhnya sendiri.

"Duit bukan segala-galanya, apa yang penting ialah kita ikhlas untuk melakukan kerja itu.

"Alhamdulillah setelah tiga tahun saya dapat membeli rumah dan kereta sendiri daripada hasil usaha sebagai penyanyi," katanya.

Kata Awi, dia masih mengintai peluang untuk mengembangkan kerjayanya di negara jiran iaitu Indonesia.

"Saya sekarang sibuk berulang-alik ke Indonesia kerana bertemu dengan Once dan Ahmad Dhani untuk berbincang tentang lagu baharu.

"Insyaallah kalau ada rezeki saya mahu mencuba pasaran muzik di sana pula," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan