Hafidzuddin Akui Tidak Mudah Buat Kerja Alih Suara

Diterbitkan: Khamis, 1 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Hafidzuddin mula berjinak-jinak dalam bidang pengalihan suara sejak tahun 1998.
Hafidzuddin mula berjinak-jinak dalam bidang pengalihan suara sejak tahun 1998.

PETALING JAYA: Pelakon dan penggiat teater Hafidzuddin Fadzil mengakui bidang pengalihan suara bukan semudah yang disangka dan memerlukan teknik yang betul bagi mendapatkan hasil terbaik.

Hafizuddin yang telah berjinak-jinak dalam bidang tersebut sejak tahun 1998 berkata, tidak seperti lakonan biasa, pengalihan suara memerlukan pelakunya untuk melakonkan suara mereka supaya ia dapat memberi kesan kepada visual dipaparkan.

"Selain perlu berlakon dengan suara mereka, juru alih suara perlu memastikan pergerakan mulut selari dengan dialog dan ketepatan pengiraan masa.

"Ia bukan satu bidang mudah seperti difikirkan oleh sesetengah orang namun industri itu semakin berkembang dan di Malaysia sendiri mempunyai ramai juru alih suara berbakat," katanya kepada mStar Online.

Hafidzuddin bakal muncul dengan dua filem alih suara iaitu Madagascar 3: Europe's Most Wanted dan The Smurfs 2 versi bahasa Malaysia pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

Bercerita mengenai peranannya dalam The Smurfs 2, Hafidzuddin berkata, dia memegang watak sebagai Papa Smurfs dan mengambil masa selama 10 jam untuk melakukan proses pengalihan suara tersebut.

"Saya sebelum ini pernah terlibat dalam filem Smurfs yang pertama dan tiada masalah untuk membawakan watak tersebut cuma perlu menambah emosi dan karakter kepadanya," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Hafidzuddin yang mula bergiat aktif dalam bidang lakonan sejak tahun 2004 berkata, dia bagaimanapun tidak terlalu mengharapkan kepada bidang pengalihan suara sahaja sebaliknya turut bergiat aktif sebagai pelakon dan aktivis teater.

Jelasnya, dengan cara itu ia dapat memberikannya lebih kepuasan berbanding menumpukan kepada sesuatu bidang sahaja.

Bercakap mengenai perkembangan terbaharunya, Hafidzuddin baharu sahaja selesai menjalani penggambaran filem Pilot Cafe dan sebuah drama berjudul Menjinak Ombak arahan Along Kamaluddin.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan