Sheila Majid Sukar Dapat Lagu Berkualiti Punca Tidak Rakam Album

Diterbitkan: Sabtu, 20 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Sheila Majid dan suaminya Acis
Sheila Majid dan suaminya Acis

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular Datuk Sheila Majid mengakui agak sukar mendapatkan lagu yang sesuai dengan cita rasanya untuk dimuatkan dalam album terbaharu beliau.

Sheila, 48, berkata, kebanyakan lagu yang diterima tidak bertepatan dengan konsep dan genre yang dibawakannya selama ini.

"Saya masih lagi dalam proses memilih lagu untuk album terbaru, agak sukar kerana susah untuk cari yang sesuai dengan suara saya.

"Saya ada menerima lebih 100 lagu, Insya-Allah setakat ini mencukupi untuk pilih 10 yang terbaik dan sesuai dengan saya," katanya ketika ditemui di majlis berbuka puasa Karyawan, di Saloma Bistro, di sini, Khamis.

Tambah Sheila, dia lebih mementingkan kualiti sesebuah lagu bagi memastikan album yang dihasilkan bukan sekadar seperti melepaskan batuk di tangga.

"Saya tidak kata ciptaan lagu yang saya terima itu tidak bagus cuma kurang sesuai dengan saya. Jika mereka bagi lagu berbentuk lagu asli atau dangdut memang saya tidak pandai untuk nyanyikannya.

"Saya mahu sesebuah lagu itu mengikut cita rasa dan mempunyai kualiti bagus agar album saya menjadi sebuah album yang betul-betul berkualiti," katanya.

Dalam pada itu, Sheila mengakui lagu-lagu lama nyanyiannya yang menjadi lagu-lagu malar segar membuatkan beliau meletakkan satu tahap terhadap kualiti sesebuah lagu.

"Kalau boleh kita mahu mencari yang lebih baik daripada lagu yang pernah kita bawakan. Tapi mungkin juga kerana saya telah meletakkan satu tahap yang agak tinggi pada lagu-lagu saya sehingga ia menjadi sukar untuk dicapai," katanya.

Bagaimanapun, Sheila bakal keluar dengan single terbaru akhir tahun ini.

Sementara itu bercerita tentang konsert amal yang akan berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada Oktober depan bersama penyanyi jaz Indonesia, Harvey Malaiholo, Sheila berkata dia teruja dengan gandingan tersebut.

"Saya sangat teruja ketika ditawarkan untuk bergandingan dengan Harvey dan kami belum lagi berbincang untuk memilih lagu.

"Sebelum ini saya pernah dijemput ke Indonesia oleh Harvey untuk menyanyi dalam konsertnya," kata Sheila.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan