‘Jangan Berhenti Kerja Kerana Glamor’ – Razali Buyong

Diterbitkan: Isnin, 15 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Razali Buyong
Razali Buyong

PETALING JAYA: Pelakon veteran Razali Buyong, 69, menasihati artis yang mempunyai pekerjaan tetap supaya tidak sewenang-wenangnya berhenti untuk mengejar populariti dalam dunia seni tanah air.

Pelakon yang popular dengan drama bersiri Opah ini mengakui langkah dia meneruskan pekerjaannya sebagai pembantu hospital ketika bergiat aktif sebagai pelakon berjaya menyelamatkan keluarganya daripada hidup melarat.

"Alhamdulillah, hidup saya kini tidaklah kaya tetapi tidak juga susah, setiap bulan ada hasil duit pencen ketika bekerja sebagai pembantu hospital di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Memang agak susah untuk bahagikan masa bekerja dengan berlakon tetapi demi anak-anak saya cuba jugalah kerana saya fikir pekerjaan sebagai pelakon tidak menjanjikan masa depan untuk keluarga, walaupun pendapatan sebagai pelakon untuk drama Opah agak lumayan ketika itu," katanya kepada mStar Online.

Menceritakan kisah lampaunya, Razali berkata setiap hari, dia terpaksa berkejar-kejar dari tempat kerjanya ke lokasi penggambaran.

"Ia bukan sesuatu yang mudah, saya terpaksa berlari pula ke tempat kerja selepas selesai penggambaran dan jika penggambaran di luar kawasan saya terpaksa ambil cuti tanpa gaji.

"Ketika itu, masa bersama keluarga juga agak terhad, nasib baik juga tempat kerja saya memberi kelonggaran dan rakan-rakan memahami situasi saya dan membantu," katanya.

Tambah Razali, bukan ingin mendabik dada dengan kehidupannya sekarang, namun dia melihat ramai pelakon muda yang terlalu berangan tinggi apabila menceburi bidang ini.

"Ini adalah rezeki masing-masing dan ramai kawan saya dulu juga berhenti kerja kerana mahu berlakon tapi bila sudah berusia seperti ini tiada sumber pendapatan dan wang simpanan," katanya.

Dalam pada itu, kata Razali, pada usia begini, dia kurang mengambil tawaran berlakon dan banyak menghabiskan masa bersama keluarga.

"Sekarang saya masih ambil tawaran drama tetapi tidak banyak, saya ambil jika ada yang sesuai dan tidak terlalu lama tempoh penggambarannya.

"Lagi pula ke enam-enam anak saya sudah bekerja, sedikit sebanyak dapat membantu keluarga," ujarnya.

Razali pernah membintangi drama bersiri popular Opah selama hampir 15 tahun yang bersiaran di RTM sejak tahun 1982 dengan memegang watak Osman.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan