Chomel Fana Keluar Dari KRU Music

Diterbitkan: Khamis, 11 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Chomel Fana
Chomel Fana

PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Chomel Fana mengesahkan dia tidak lagi menjadi artis di bawah naungan KRU Music Group, selepas menamatkan kontraknya dengan syarikat tersebut pada hujung tahun lalu.

Chomel atau nama sebenarnya Noorhanis Farhana Shaharuddin, 27, berkata, kontrak itu ditamatkan selepas kedua-dua pihak melihat tiada sebarang perkembangan yang boleh mengetengahkannya sebagai seorang penyanyi.

"Dua tahun lalu saya sertai KRU Music kerana mahu mengembangkan karier nyanyian. sehingga kini saya sudah mempunyai sebuah single berjudul BFF.

"Tapi saya melihat tiada sebarang perkembangan di situ dan seperti semua sedia maklum pihak KRU lebih memberi keutamaan di bidang perfileman. Jadi lebih baik saya tidak menyambung kontrak dan saya boleh membawa haluan sendiri," katanya.

Bagaimanapun tambah Chomel, dia berharap tiada pihak yang memandang serong dengan keputusan itu kerana ia dibuat tanpa sebarang perbalahan antara satu sama lain.

"Kami profesional dan tidak pernah berbalah berkaitan isu seperti ini. Tidak dinafikan pihak KRU juga telah mengembangkan bakat lakonan saya. Cuma bidang nyanyian sahaja agak perlahan dan rasanya itu adalah perkara yang normal," tuturnya.

Dalam pada itu, Chomel berkata, sejak menguruskan kerjaya sendiri, dia lebih senang dan selesa untuk bergerak ke mana-mana tanpa perlu memberitahu kepada pihak syarikat naungannya.

Malah, Chomel tidak menyesal dengan keputusan itu selepas melihat dia lebih banyak mendapat undangan nyanyian selepas meninggalkan syarikat rakaman itu.

Dalam perkembangan lain, Chomel kini sibuk menjalani penggambaran drama Menjinak Ombak bergandingan dengan Talha Harith untuk siaran TV3.

Lakonan Chomel turut dapat ditonton menerusi drama Balqis yang bersiaran bermula 3 Jun lalu setiap Selasa pada pukul 1.30 tengah hari di TV2.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan