Hairul & Leen Bahagi Masa Nyanyian dan Sekolah

Diterbitkan: Isnin, 8 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pasangan Hairul dan Leen ketika beraksi di pentas akhir Ceria Popstar.
Pasangan Hairul dan Leen ketika beraksi di pentas akhir Ceria Popstar.

KUALA LUMPUR:Juara Ceria Popstar, Hairul dan Leen mengakui pembahagian masa di antara pertandingan dan persekolahan adalah salah satu cabaran terbesar yang terpaksa ditempuhi sepanjang program ini berlangsung.

Hairul atau Hairul Asri Alis Sifhan, 14 dan Nur Shazleen Natasha Kamaluddin, 13, berkata mereka perlu membuktikan kepada ibu bapa masing-masing dengan kepercayaan yang telah diberikan kepada mereka dengan tidak leka terhadap pelajaran.

"Sepanjang program ini berlangsung kami juga sibuk dengan persekolahan, jadi masa berlatih selepas waktu sekolah.

"Bagaimanapun kami tidak pernah mengambil mudah dengan persekolahan kerana sejak awal lagi ibu bapa kami sudah beri amaran agar tidak leka dengan pelajaran jika mahu terlibat dengan bidang nyanyian," kata Leen ketika ditemui selepas pertandingan akhir Ceria Popstar, di sini, Ahad.

Pasangan ini membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000 dan trofi kemenangan.

Sementara itu, bagi Hairul, kemenangan tersebut merupakan hasih kerja keras mereka berdua yang tidak pernah berputus asa.

"Kami kenal ketika memasuki pertandingan nyanyian Idola Kecil dan dari situ kami berkawan sehingga mengambil keputusan untuk menyertai pertandingan ini.

"Alhamdulillah semuanya berbaloi dengan apa yang telah kami usahakan selama pertandingan ini," ujarnya.

Tambah Hairul, dia turut mengalami demam seminggu sebelum pertandingan akhir ini berlangsung.

"Keadaan saya tidak sihat dan demam sejak minggu lepas dan saya memang berharap hari ini saya dapat sihat sepenuhnya.

"Alhamdulillah saya dapat buat yang terbaik, kalau boleh saya tidak mahu menghampakan Leen dan mensia-siakan usaha kami," katanya.

Dalam konsert akhir pada Ahad, pasangan yang juga anak didik kepada penyanyi Atilia membawa lagu Seiring dan Sejalan pada pusingan pertama dan Impianku pada pusingan kedua.

Rancangan yang bermula sejak awal 5 Mei lalu turut melibatkan Razmil dan Flower Queen iaitu anak didik kepada penyanyi Hazama.

Ceria Popstar bersiaran setiap Ahad pada pukul 11.30 di saluran Astro Ceria.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan