Halim & Adibah Noor Mahu Bersalam 20,000 Peminat Sabah

Diterbitkan: Khamis, 27 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Segmen Ceria Pagi bersama Adibah dan Halim bersiaran secara langsung dari studio stesen Suria FM Sabah di KK Times Square, Kota Kinabalu selama seminggu. Turut tampil dalam program berkenaan adalah Ray yang mengendalikan segmen Santai 120. - Foto NORMIMIE DIUN.
Segmen Ceria Pagi bersama Adibah dan Halim bersiaran secara langsung dari studio stesen Suria FM Sabah di KK Times Square, Kota Kinabalu selama seminggu. Turut tampil dalam program berkenaan adalah Ray yang mengendalikan segmen Santai 120. - Foto NORMIMIE DIUN.

PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM iaitu Halim Othman dan Adibah Noor berhasrat untuk berjabat tangan dengan 20,000 peminat dalam program Ronda Impian Ceria Pagi di Sabah yang diadakan di negeri itu dari 24 Jun lalu sehingga Jumaat ini.

Kedua-dua penyampai radio itu berharap jumlah tersebut dapat dicapai menjelang Jumaat ini ketika seri bertemu peminat diadakan.

"Selain mempunyai misi untuk berjabat tangan dengan 20,000 pendengar Suria FM, peluang ini turut digunakan untuk kami beramah mesra dengan mereka yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan.

"Diharap dengan perancangan yang telah diatur untuk bertemu dengan mereka di pelbagai lokasi dapat mencapai misi tersebut," kata Halim ketika ditemui di studio Suria FM Sabah di KK Times Square di sini pada Rabu lalu.

Tambah Halim, setakat ini mereka telah berjaya bersalaman dengan hampir 10,000 peminat sepanjang tiga hari program berlangsung dan yakin sasaran itu dapat dicapai.

Dalam perkembangan berkaitan, Halim berkata, kedatangan mereka ke Sabah juga untuk meraikan lima pemenang Ronda Impian Ceria Pagi Sabah yang berpeluang menjadi pemandu pelancong untuk mereka melawat tempat-tempat menarik di negeri itu.

Halim berkata, pemenang ditentukan berdasarkan susunan program paling menarik untuk membawa mereka ke tempat-tempat di negeri itu yang terkenal dengan keindahan semula jadi, budaya dan sejarah.

"Setiap hari seorang pemenang akan membawa kami ke tempat-tempat yang telah dicadangkannya dan setakat ini pengalaman berada di sini cukup menarik," jelasnya.

Lima pemenang tersebut adalah Raimon @ Ahmad Tarmizie Aboi, Karatika Sari, Siti Aisyah Malek, Florence Silimon dan Rozzer Achong.

Antara lokasi yang dilawati oleh kedua-dua penyampai itu seperti Pulau Manukan, Jambatan Gantung Tamparuli, Rumah Terbalik, Taman Kinabalu, Taman Buaya Tuaran, Kampung Air Tanjung Aru dan beramah mesra bersama masyarakat Kampung Sipitang.

Tourism Malaysia turut menyokong program berkenaan dengan menyediakan pengangkutan untuk Halim dan Abidah serta krew bagi bertemu pendengar Suria FM.

Dalam pada itu, Adibah berkata, mereka juga turut bersiaran secara langsung untuk segmen Ceria Pagi bermula 6 hingga 10 pagi dari studio stesen radio itu di Kota Kinabalu sepanjang lima hari berada di sana.

Jelasnya lagi, peluang bekerjasama dengan tiga penyampai Suria FM Sabah iaitu Obie, Ray dan Dudu juga banyak memberikan pengalaman baharu kepada mereka selain memperkenalkan deejay tersebut kepada pendengar di Semenanjung Malaysia.

"Pengalaman ke udara untuk segmen Ceria Pagi di Sabah sangat bermakna kerana ia bukan seperti kebiasaan namun pengalaman itu menyeronokkan," katanya.

Suria FM Sabah bersiaran bermula pukul 10 pagi hingga 4 petang dari hari Isnin sehingga Jumaat.

Ia boleh didengari menerusi frekuensi 105.9 FM dan pendengar di Semenanjung Malaysia boleh mendengar siaran tersebut menerusi laman web www.suriafm.com.my.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan