Majlis Resepsi Beego & Linda Hashim Meriah

Diterbitkan: Ahad, 9 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Beego dan Linda diarak masuk ke pelamin persandingan mereka di Finas.
Beego dan Linda diarak masuk ke pelamin persandingan mereka di Finas.

KUALA LUMPUR: Selepas selamat dinikahkan pada Jumaat lalu, pelakon Mohd Aszerul Nizam Abdullah atau Beego dan isterinya, Norhazlinda Hashim atau Linda mengadakan majlis persandingan mereka dalam suasana yang cukup meriah di Dataran Karyawan Finas di sini malam Sabtu.

Majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 tetamu itu terdiri daripada ahli keluarga, sanak saudara kedua-dua belah pihak, kenalan artis dan rakan media.

Bertemakan konsep dalam taman, Linda kelihatan ayu dengan busana kebaya moden berwarna ungu rekaan Erins N Erinas Sequins manakala Beego segak dengan baju Melayu warna sedondon juga rekaan pereka sama.

Suasana di Dataran Karyawan itu juga yang dihias indah tampak sederhana tetapi cukup elegan.

Acara yang bermula pada pukul 9 malam dengan ketibaan pengantin perempuan diiringi pula dengan pengantin lelaki.

Acara pada malam itu turut diserikan dengan persembahan beberapa buah lagu daripada penyanyi terkenal Indonesia, Endang S. Taurina.

Antara selebriti yang kelihatan pada majlis tersebut adalah Zed Zaidi, Que Haidar, Rozie Othman, Hamidah Hamid dan Fadilah Mansor.

Beego, 33, sah bergelar suami kepada Linda, 29, hanya dengan sekali lafaz dalam majlis pernikahan yang diadakan di Masjid Usaimah Bin Zain, Wangsa Maju, di sini, Jumaat malam lalu.

Pasangan itu dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Wilayah Persekutuan, Mohd Nizam Wahab disaksikan oleh bapa pengantin perempuan, Hashim Yusof pada kira-kira pukul 9.25 malam.

Ini merupakan perkahwinan kedua Beego manakala yang pertama untuk Linda.

Beego sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama Intan Shahira Mohd Shahru pada 28 Disember 2007 dan bercerai pada 16 Mac 2009.

Mereka mula menjalinkan hubungan cinta sejak dua tahun lalu dan mengikat tali pertunangan pada 3 November 2012.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan