Raja Lawak 7: Astro Akui Penonton Kurang Senang Cara Isma Alif

Diterbitkan: Rabu, 5 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Isma Aliff
Isma Aliff

KUALA LUMPUR: Ketua Saluran Premium Astro Nizam Sani mengakui kehadiran juri dalam program pertandingan Raja Lawak musim ke tujuh (RL7) iaitu Isma Alif membuatkan penonton kurang senang dengan cara dia memberikan komen kepada peserta.

Bagaimanapun Nizam berkata, rasa tidak puas hati itu hanya berlaku selama dua minggu pertama sahaja apabila penonton mula menerima lawak-lawak disampaikan mengikut caranya iaitu memberikan pandangan dengan gaya yang tersendiri itu.

"Memang saya mendapat respons penonton tidak senang apabila Isma memberi komen kepada peserta dengan cara menyanyi dan membuat lawak semula. Nampak macam keterlaluan.

"Mungkin ketika itu penonton tidak faham tetapi lama-lama mereka sudah boleh menerimanya.

"Lagipun memang pihak kami mahu juri menyampaikan komen mereka dengan cara yang tersendiri kerana itu juga memberikan sedikit kelainan dalam RL bagi setiap musim," katannya.

Nizam ditemui pada majlis pelancaran program baru saluran Astro Bintang iaitu Haha Hihi di restoran Estate, The Intermark, Hotel Double Tree, di sini, Selasa.

Tambah Nizam komen yang diberikan Isma secara bersahaja dengan sedikit unsur lawak telah memberikan suntikan segar dalam program itu apabila ia sedikit sebanyak menaikkan rating tontonan penonton.

Baru-baru ini, komen-komen yang disampaikan Isma dikritik hebat apabila pelawak veteran itu dianggap keterlaluan dalam menyampaikan pandangannya.

Ada kalanya dia muncul di atas pentas serta memberi komen dengan perbagai gaya dan bahasa sehingga mengundang rasa rimas apabila dia dilihat seperti seorang peserta dan bukannya juri.

mStar Online cuba menghubungi Isma bagi mendapatkan penjelasannya namun pelawak itu gagal dihubungi.

Selain Isma, Datuk AC Mizal dan Saiful Apek juga menjadi juri bagi RL7.

Ia disiarkan menerusi saluran Astro Prima pada setiap Jumaat bermula pukul 10 malam.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan