Anuar Zain Berlakon Teater 'Nyonya & The Gang'

Diterbitkan: Selasa, 4 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Anuar Zain
Anuar Zain

PETALING JAYA: Penyanyi terkenal, Anuar Zain buat julung kalinya akan muncul dalam pementasan teater menerusi Nyonya & The Gang yang akan berlangsung pada 14 hingga 20 Jun ini di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Menurut penerbitnya, Siti Rohayah Attan, Anuar akan membuat penampilan khas dalam teater tersebut hanya pada 19 dan 20 Jun bagi persembahan pukul 8.30 malam.

“Melalui perbincangan, kami telah bersetuju dengan kemunculan Anuar pada dua tarikh tersebut.

“Namun, sekiranya beliau mempunyai kelapangan masa serta ada permintaan daripada khalayak, berkemungkinan kami akan menambah bilangan pementasan yang membabitkan dia,” katanya menerusi dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan kepada mStar Online, di sini pada Selasa.

Menurut Siti Rohayah, kehadiran Anuar amat besar ertinya kepada produksi tersebut memandangkan babak yang melibatkan Anuar berkaitan dengan negeri kelahirannya, Melaka.

Menerusi babak yang berkonsep santai di Melaka itu, turut ditampilkan beberapa tempat pelancongan yang menarik di negeri tersebut dengan selitan lagu tradisional dondang sayang.

“Sebagai anak Melaka, saya berbangga kerana produksi ini menghimpunkan nama-nama besar dalam bidang seni yang berasal dari negeri ini termasuklah Anuar dan pengarah muzik, Datuk Suhaimi Mohd. Zain (Pak Ngah),” tambah Rohayah.

Penerbit itu juga berharap dengan kemunculan Anuar dalam persembahan ini memberi peluang kepada penyanyi itu mendekati peminatnya daripada genre teater pula.

Teater Nyonya & The Gang arahan bersama Rosminah Mohd Tahir dan Siti Rohayah turut menampilkan Misha Omar sebagai Keponakan Cantik, Amy Mastura (Keponakan Anggun), Fara Fauzana (Keponakan Beautiful), Kiah Propa (Isteri), Mardiana Alwi (Nyonya) dan Taiyuddin Bakar (Tuan).

Turut terlibat ialah kumpulan Zeppo Youngsterz Crew, Secrets Crew dan Don Dang Crew.

Ia dipentaskan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Jatimas Sdn. Bhd.

Tiket-tiket berharga RM35, RM55, RM85, RM105 & RM155 boleh didapati di kaunter tiket Istana Budaya. Maklumat lanjut boleh dihubungi 03-87754666, 03-61866592 atau 017-2004249.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan