‘Tanda Putera': Shuhaimi Baba Lega Reaksi Positif Menteri

Diterbitkan: Jumaat, 31 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Shuhaimi baba berharap agar filem Tanda Putera arahannya ditayangkan secepat mungkin.
Shuhaimi baba berharap agar filem Tanda Putera arahannya ditayangkan secepat mungkin.

PETALING JAYA: Pengarah dan penerbit filem Tanda Putera, Datin Paduka Shuhaimi Baba gembira apabila Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shaberi Cheek menyokong filem tersebut untuk ditayangkan dengan segera.

Shuhaimi atau lebih dikenali sebagai Shumi berkata, penundaan filem yang sepatutnya ditayangkan pada 15 November tahun lalu itu adalah terlalu lama dan sudah tibalah masanya untuk ia dipertontonkan kepada umum.

"Apabila menteri membuat kenyataan meminta agar tayangan Tanda Putera perlu disegerakan, ia cukup menggembirakan hati saya.

"Sekurang-kurangnya penat lelah saya bersama kru produksi serta pelakon berbaloi.

"Sehingga pada satu tahap kerana terlalu kerap ditunda, kami benar-benar kecewa dan tidak mengharapkan apa-apa lagi sama ada ia akan keluar ke panggung atau tidak," katanya yang dihubungi mStar Online pada petang Khamis.

Tambah Shumi, penundaan filem berkenaan yang menelan belanja RM4.8 juta itu telah membuatkan pihak produksinya iaitu Pesona Pictures Sdn Bhd mengalami kerugian berjuta-juta ringgit.

Bagaimanapun, kenyataan Ahmad Shabery telah memulihkan semangat pengarah tersebut untuk melihat filem itu ditonton ramai.

"Sekarang ini saya hanya menunggu pengesahan ‘hitam putih’ daripada pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di mana kami akan adakan mesyuarat pada minggu hadapan Insya-Allah.

"Jika tiada halangan, filem ini mungkin akan ditayangkan pada tahun ini juga.

"Bagaimanapun kami mungkin tidak membuat promosi secara besar-besaran atau membuat tayangan perdana semula," ujarnya.

Ahmad Shabery menerusi laporan akhbar pada Khamis menggesa pihak Finas agar membenarkan Tanda Putera ditayangkan.

Katanya, dengan tayangan filem itu, rakyat boleh membuat penilaian sendiri terhadap mesej yang disampaikan mengenai kisah sejarah negara iaitu peristiwa 13 Mei 1969.

Filem itu memaparkan kisah Perdana Menteri kedua iaitu Tun Abdul Razak Hussein dan timbalannya Tun Dr. Ismail Abdul Rahman berusaha memulihkan negara susulan peristiwa pergaduhan antara kaum pada tahun 1969.

Filem yang dihasilkan pada tahun 2011 itu bagaimanapun tidak diluluskan oleh jemaah Mmenteri yang membuat keputusan menangguhkan tayangannya kerana dikatakan terdapat adegan yang tidak bersesuaian dan dikhuatiri boleh menimbulkan konflik di kalangan masyarakat negara ini.

Tanda Putera yang dibarisi pelakon Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai, Linda Hashim, Norman Hakim, Kavita Sidhu dan Riezman Khuzaimi itu diterbitkan Pesona Pictures Sdn Bhd dan Finas dengan kerjasama Multimedia Development Corporation (MDeC).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan