Rezeki Berlakon Sharnaaz Mencurah-Curah Selepas Putus Cinta

Diterbitkan: Jumaat, 31 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Sharnaaz Ahmad
Sharnaaz Ahmad

PETALING JAYA: Pelakon Sharnaaz Ahmad mengakui rezekinya lebih murah apabila menerima banyak tawaran berlakon selepas kontroversi percintaannya dengan penyanyi Shila Amzah yang tidak menjadi itu mendapat perhatian media.

Sharnaaz, 27, berkata, kesungguhannya mempertahankan hubungan cinta tersebut dilihat sebagai satu sikap yang positif pada dirinya dalam melakukan sesuatu perkara termasuk bidang lakonan.

"Alhamdulillah, selepas kontroversi tersebut semakin banyak tawaran filem dan drama untuk saya.

"Mereka melihat saya sebagai seorang yang bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara dan ia memang perangai saya sejak dulu," ujarnya yang ditemui pada majlis pelancaran filem Sindiket, di sini, Khamis.

Sharnaaz diminta mengulas ketika ditanya tentang perkembangan terbaharunya selepas kontroversi putus cinta dan kemelutnya dengan bapa Shila iaitu penyanyi ND Lala.

Kata Sharnaaz, dia menjalani kehidupan seperti biasa dan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada kerjaya tanpa memikirkan soal tersebut lagi.

"Saya sibuk dengan kerja saya dan dia pula sibuk dengan kerja dia sekarang.

"Apa yang saya belajar ialah kalau seseorang itu bukan jodoh kita, apa-apa perkara pun yang kita rancang dan buat, tidak akan menjadi.

"Buat masa ini kami tidak berhubung, bagaimanapun saya tidak pernah angap dia sebagai musuh," katanya.

Ditanya tentang khabar angin percintaan dengan pelakon baru, Elfaeza Ul Haq, Sharnaaz berkata dia tidak mempunyai hubungan istimewa dengan pelakon wanita tersebut.

"Saya tidak ada apa-apa hubungan dengan dia, saya jenis berterus terang, kalau memang bercinta saya tidak pernah menafikan.

"Buat masa ini saya tidak bercinta dengan sesiapa pun," ujarnya yang turut menafikan bahawa dia sudah melupakan Shila Amzah.

Sementara itu, mengulas isu video buli yang dilakukan oleh sekumpulan pelajar sekolah dengan mengaitkan wataknya sebagai Lan Todak dalam filem Juvana, Sharnaaz bersedia untuk melakukan kerja amal memberi kesedaran tentang gejala tersebut kepada remaja.

"Saya minta maaf kepada budak yang kena pukul tu, kesian juga dekat dia kerana menjadi mangsa pukul.

"Saya sanggup untuk sertai apa-apa kerja amal untuk beri kesedaran kepada golongan remaja dan belia tentang masalah buli ini jika diberi peluang," katanya.

Berhubung filem Sindiket arahan Bade Haji Azmi, Sharnaaz mengakui tawaran tersebut sebagai sebuah penghormatan dan kepercayaan yang diberi kepadanya.

"Ini kali pertama saya akan bekerja dengan abang Bade, dan saya anggap ia adalah satu peluang keemasan kepada saya.

"Saya akan buat yang terbaik dan mengalas tanggungjawab yang diberikan oleh pengarah dengan bersungguh-sungguh," katanya.

Sharnaaz memainkan watak Inspektor Rudy iaitu anggota polis yang ditugaskan menyelesaikan kes memperdagangkan manusia.

Antara barisan pelakon lain ialah Daphne Iking, Rashidi Ishak, Liyana Jasmay, Sharifah Amani dan Soo Wincci.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan