3 Artis Legenda Bantu Ibu Tunggal Dalam Persembahan Amal

Diterbitkan: Khamis, 9 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)
Suhaila Sharif (tiga dari kiri) menyampaikan cek berjumlah RM174,000 kepada Murtini Kasman (empat dari kiri) bersama para artis dan mereka yang terlibat dalam Malam Amal Bersama 3 Diva.
Suhaila Sharif (tiga dari kiri) menyampaikan cek berjumlah RM174,000 kepada Murtini Kasman (empat dari kiri) bersama para artis dan mereka yang terlibat dalam Malam Amal Bersama 3 Diva.

PETALING JAYA: Malam Amal Bersama Tiga Diva melibatkan Datuk Sharifah Aini, Datuk Khadijah Ibrahim dan Uji Rashid bakal menyaksikan ketiga-tiga penyanyi legenda itu beraksi buat pertama kali di atas pentas sama.

Pengarah Urusan Kaizen Cosmetic iaitu Suhaila Sharif berkata, persembahan amal itu diadakan bagi mengumpul dana untuk Persatuan Ibu Tunggal Selangor.

"Pihak kami cukup bertuah kerana ketiga-tiga nama besar itu bersetuju untuk terlibat dalam malam amal itu dan menariknya ia merupakan kali pertama mereka digandingkan dalam sebuah persembahan bersama," jelasnya pada sidang media berkenaan di Restoran Khadijah’s Kitchen di sini, Rabu.

Ia turut dihadiri artis-artis terlibat melainkan Uji Rashid yang mempunyai urusan lain.

Majlis itu akan berlangsung pada 12 Jun depan pada pukul 8 malam di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Tambah Suhaila, pemilihan tiga nama besar itu juga dibuat berdasarkan karisma dan gaya mereka selain mereka juga dekat dengan peminat terutamanya golongan ibu.

Pada majlis sama, Suhaila turut menyampaikan cek kepada persatuan kebajikan berkenaan berjumlah RM174,000 melalui pengerusinya, Murtini Kasman.

Dalam pada itu, Suhaila berkata, pihaknya juga menyasarkan kutipan sebanyak RM500,000 menerusi jualan 100 buah meja yang disediakan.

Malah pada hari tersebut, pihaknya turut menyediakan ruang untuk para ibu tunggal mengadakan pameran dan jualan untuk pengunjung bermula pukul 10 pagi.

"Pada sebelah pagi sebelum menjelang konsert akan diadakan pameran dan jualan oleh usahawan-usahawan ibu tunggal dari seluruh negara dan orang ramai dijemput hadir," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Khadijah berkata, penglibatan artis berkenaan dalam persembahan itu diharap dapat membantu golongan ibu tunggal memperbaiki kehidupan mereka tanpa bergantung kepada orang lain.

Tambah Khadijah, persembahan yang bakal berlangsung selama dua jam itu akan menyaksikan artis legenda berkenaan menyampaikan tujuh buah lagu dan persembahan duet.

"Kita akan gunakan peluang ini untuk menghiburkan mereka dan akan berbincang lagu apakah yang sesuai untuk disampaikan pada malam itu," katanya.

Turut menyerikan persembahan pada malam itu nanti adalah Artis Komedi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 (ABPBH 2012), Didie Alias sebagai pengacara majlis bersama Acong (Sweet Child) dan Man (Raja Lawak).

Turut diadakan pertunjukan fesyen dan Ratu Kebaya oleh ibu-ibu tunggal.

Harga meja yang dijual serendah RM1,500 hingga RM10,500. Tempahan boleh dibuat di www.kaizen-asia.com atau menghubungi 03-6242-5104 atau 010-2454923.

iklan

iklan

Iklan