Jimmy Shanley Ke Mahkamah Lagi Walaupun Kes Sudah Selesai

Diterbitkan: Selasa, 7 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Jimmy Shanley
Jimmy Shanley

PETALING JAYA: Pelakon Jimmy Shanley yang sebelum ini berasa lega apabila kes perceraian dan hak penjagaan anaknya selesai terpaksa 'naik turun' mahkamah semula apabila bekas isterinya Nursuhaila Eliani Suhaimy, 25, mahu membuat satu lagi tuntutan pada Khamis ini.

Menurut Jimmy atau nama sebenarnya Jimmy Shanley Norjahan Salleh, 33, berkata, dia dimaklumkan bekas isterinya akan memfailkan tuntutan berhubung hak penjagaan anak di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, dekat sini kerana tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah yang memberi Jimmy hak melawat anaknya, iaitu Zahrah Rania Shanley.

"Saya dimaklumkan Suhaila akan membuat tuntutan mahkamah sekali lagi berhubung isu hak penjagaan anak kami pada Khamis ini.

"Bagaimanapun saya tidak boleh memberitahu secara terperinci tentang perkara ini. Kita tunggu dan lihat apa yang bakal berlaku nanti," katanya yang dihubungi mStar Online pada tengah hari Selasa.

Pada 8 April lalu Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam membenarkan Jimmy mendapat hak lawatan dan bermalam selama tiga hari dalam seminggu bersama anak perempuannya yang berusia setahun sembilan bulan.

Hak lawatan dan bermalam itu bermula pada pukul 10 pagi Selasa sehingga Khamis pukul 6 petang setiap minggu selain kebenaran menyambut perayaan Aidilfitri dan Aidiladha secara bergilir-gilir.

Bagaimanapun tambah Jimmy, sehingga kini bekas isterinya masih lagi tidak membenarkan dia berjumpa dengan anaknya itu.

"Walaupun mahkamah memberikan tempoh tertentu untuk saya melawat Zahrah, saya masih lagi tidak diberikan peluang melihat anak saya itu.

"Saya tidak tahu apa yang cuba dilakukannya (Suhaila) dan tidak faham apa yang dirasakan tidak puas hati dengan keputusan yang diberi.

"Harap-harap kes pada Khamis ini tidaklah sampai ke tahap akan memutuskan perhubungan saya dengan anak, Insya-Allah," ujarnya.

Jimmy dan Nursuhaila telah mendirikan rumah tangga pada 1 Oktober 2010 di kediaman keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh, dekat sini.

Kedua-dua mereka mula tinggal berasingan sejak 21 Oktober 2010, iaitu 20 hari selepas bernikah sebelum bercerai pada 10 Oktober 2012.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan