Bunkface Luahkan Rasa Kecewa Album Tak Laku

Diterbitkan: Rabu, 1 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Sam (tengah) bersama anggota Bunkface.
Sam (tengah) bersama anggota Bunkface.

KUALA LUMPUR: Kumpulan Bunkface mengakui pergerakan karier nyanyian mereka semakin perlahan lebih-lebih lagi apabila album kedua mereka iaitu Bunk Not Dead kurang diberi perhatian.

Vokalisnya, Sam atau nama penuhnya Shamsul Annuar Mohd Baharom berkata, ia sedikit sebanyak membuatkannya bersama dua lagi ahli iaitu Youk (Farouk Jafaar) dan Paan (Ahmad Farhan) agak kecewa selain mendapati peminat-peminat Bunkface seolah-olah semakin berkurangan.

"Kami tidak tahulah di mana silapnya kerana jika nak kata tak cukup promosi, ia sama sahaja seperti album pertama kami iaitu Phobia Phoney dan album itu benar-benar mendapat sambutan.

"Jadi kami anggap mungkin kami tersilap catur dengan muzik yang dibawakan di mana ia kurang menyengat di hati pendengar dan peminat.

"Atau kemungkinan lainnya, lagu konsep kami sudah tidak masuk dalam peredaran muzik sekarang. Saya tak pasti," katanya.

Tambah Sam, keadaan itu juga membuatkan tawaran undangan untuk mereka membuat persembahan juga berkurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Paan pula berkata, dia berasa pelik apabila peminat-peminat Bunkface sering bertanyakan tentang bilakah lagu-lagu mereka bakal muncul, sedangkan mereka sudah pun memiliki sebuah album baharu.

"Kami rasa pelik apabila peminat sering bertanyakan lagu baru. Sedangkan sudah jelas terpampang di Facebook kami mempromosikan Bunk Not Dead ," ujarnya.

Beritahu Paan, walaupun peredaran muzik sudah berubah, Bunkface tetap tidak akan mengubah konsep lagu ‘punk rock’ yang dibawakan.

Dalam pada itu, bagi mempromosikan semula album kedua Bunkface, kumpulan itu akan mengadakan konsert mini iaitu 'Bunk Not Dead Tour Malaysia' di lapan buah lokasi di seluruh negara tidak lama lagi.

"Saya harap dengan cara ini, para peminat dapat mendengar lagu-lagu baru kami yang sudah dilancarkan sejak pertengahan tahun lepas," tuturnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan