Jamal Abdillah Tetap Pilih BN

Diterbitkan: Sabtu, 20 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Jamal Abdillah
Jamal Abdillah

PETALING JAYA: Bintang pop nombor satu negara Jamal Abdillah akan tetap memilih Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) pada 5 Mei depan kerana yakin dengan kepimpinan parti itu mentadbir negara.

Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 54, berkata, keyakinan itu timbul selepas melihat kemajuan dan pencapaian negara selepas 56 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan.

“Walau apa pun terjadi saya tetap sokong kerajaan sekarang. BN dah lama mentadbir negara dan apa yang kita nampak (kemajuan) sekarang ialah hasil kejayaan negara kita perintah,” katanya kepada mStar Online.

Tambah Jamal, dia juga amat berpuas hati dengan senarai calon yang diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempertaruhkan muka-muka baru untuk bertanding dalam PRU-13 ini.

Jamal yang juga ahli Umno Cawangan Dataran Merdeka, bahagian Bukit Bintang berkata, jika sesebuah negara itu dilihat cemerlang semasa ditadbir oleh sesebuah parti politik, tidak ada sebab untuk orang ramai menukarnya.

“Kita tengoklah keamanan dan kemakmuran negara yang kita lalui hari ini. Kalau negara sudah berjaya dengan pentadbiran sekarang, buat apa kita nak pilih orang lain. Saya akan sokong BN,” katanya.

Mengenai PRU kali ini kata Jamal, ia merupakan kali kedua dia membuang undi iaitu bagi Kawasan Parlimen Kelana Jaya dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya, Selangor.

Ditanya adakah dia sentiasa mengikuti perkembangan politik dalam negara ujar Jamal, tidak ramai tahu selama ini dia banyak mengambil bahagian untuk bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin BN selain mengambil tahu mengenai pihak pembangkang.

Bagaimanapun dia secara terus terang tidak bersedia untuk dicalonkan dalam PRU seperti mana dua penyokong pembangkang iaitu penyanyi Aishah (Parlimen Jempol, Negeri Sembilan) dan Dayangku Intan (Parlimen Pengerang, Johor)

“Kalau nak suruh saya aktif sehingga nak bertanding tu, saya tidak mahu kerana saya menyedari saya bukanlah individu yang sesuai kerana sebelum jadi ahli politik, kita perlu melakukan transformasi kepada diri sendiri dulu,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain Jamal akan mengadakan ‘Konsert Ekstravaganza Jamal Abdillah - P. Ramlee Dalam Kenangan’ pada 30 Mei sehingga 2 Jun depan di Istana Budaya yang akan menghimpunkan lagu-lagu popular P.Ramlee.

Tiket- tiket dari RM65 hingga RM455 masih dijual dan boleh didapati dengan melayari www.tiket2u.biz atau hubungi talian 03-41478600.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan