Syura Bakal Aktif Menyanyi Semula

Diterbitkan: Khamis, 11 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Syura mahu kekal sebagai penyanyi etnik kreatif. Foto SAMUEL ONG
Syura mahu kekal sebagai penyanyi etnik kreatif. Foto SAMUEL ONG

PETALING JAYA: Selepas hampir lapan tahun menyepi di bidang nyanyian, penyanyi Syura kembali menggegarkan persada seni muzik tempatan bermula tahun ini.

Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron, 29, berkata, keputusan itu dibuat selepas dia dan suaminya, Mohd. Fadhly Mohd. Yassin, 32, yang bekerja sebagai guru sekolah rendah di Johor Bahru (JB) berpindah ke Kuala Lumpur (KL) pada akhir tahun lalu.

"Sebenarnya saya yang minta suami untuk mendapatkan kebenaran daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) berpindah ke KL, saja nak ambil angin baru selepas lapan tahun di JB.

"Tetapi tak sangka pula perancangan untuk berpindah ke KL berjalan dengan mudah apabila permohonan suami membuat pertukaran sekolah diluluskan begitu cepat.

"Jadi apabila menetap di KL, lebih memudahkan untuk saya menjalani kerja-kerja nyanyian di sini, selain anak-anak pun dah besar," katanya.

Tambah Syura, kerana perpindahan serta ingin memberi fokus pada nyanyian juga, dia telah menjual perniagaan pengurusan majlis perkahwinan bernama Bridal House di JB.

"Nak menangis juga pada mulanya apabila perniagaan yang kita bina selama empat tahun itu dijual pada orang lain pula. Tetapi nak buat macam mana, saya kena buat pilihan," ujarnya.

Mengenai perancangan kemunculan semula, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Nazam Berkasih itu berkata dia masih lagi mahu mengekalkan konsep etnik kreatif sebagai single lagu pertamanya memandangkan muzik itu sudah semakin hilang.

Bagaimanapun, dia perlu berbincang dengan syarikat rakaman naungannya, Fantasia Music City (FMC) mengenai perancangan nyanyiannya itu.

"Mesti terkejut bukan saya masih lagi berada di bawah FMC. Tetapi sebenarnya kontrak saya dengan pihak syarikat rakaman itu belum tamat. Kami mengikat perjanjian di mana saya perlu mempunyai tujuh buah album.

"Dan sekarang ini, masih lagi ada tiga album yang belum diterbitkan. Tengoklah macam mana, saya pun belum berjumpa dengan pihak FMC lagi untuk berbincang dengan mereka," tuturnya.

Syura kini mempunyai tiga orang anak iaitu Nurul Dania Irdani, 6, Nurul Qaisara Sofea, 4 dan Muhammad Irfan Aryan, setahun enam bulan.

Sementara itu, kata Syura, dia akan menyertai pertandingan MasterChef Selebriti 2 bersama 18 artis popular lain.

Antara barisan peserta yang menyertai program pertandingan realiti tersebut ialah Sharifah Shahora, Kenchana Devi, Radhi OAG, Syanie Hisham, Aliza Abdullah (Enot), Lydiawati, Keroz Nazri, Syura, Sabhi Saddi, Michael Ang, Datuk Aznil Nawawi, Zain Saidin dan Rozita Che Wan.

MasterChef Selebriti 2 akan bersiaran setiap hari Sabtu hingga Selasa pukul 9 malam bermula 20 April ini menerusi saluran Astro Ria (Saluran 104).

iklan

iklan

Produk Berkaitan

Iklan