Opie Zami Berbalah Dengan Penulis Skrip 'Kecoh! Hantu Raya Tok Chai'

Diterbitkan: Rabu, 3 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Opie Zami
Opie Zami

KUALA LUMPUR: Pengarah filem Kecoh! Hantu Raya Tok Chai iaitu Opie Zami mengakui penulis skrip filem itu kecewa apabila karya tersebut terpaksa diolah semula sehingga berlaku perselisihan faham antara mereka berdua.

Tanpa mahu menjelaskan siapakah individu tersebut Opie berkata, dia terpaksa berbuat demikian kerana skrip asal filem tersebut didapati meleret sehingga banyak adegan yang tidak berkenaan terpaksa dibuang.

"Ketika dipertanggungjawabkan untuk mengarah filem ini, saya ubah banyak jalan cerita dalam skrip asal mengikut kesesuaian dan bajet yang diberikan,. Hal itu menimbulkan rasa tidak senang penulis skrip tersebut," katanya pada sidang media selepas pratonton filem Kecoh! Hantu Raya Tok Chai, di sini, Selasa.

Sehubungan itu kata Opie individu berkenaan telah merajuk sehingga dia enggan namanya disenaraikan sebagai penulis skrip filem berkenaan.

Opie juga mengakui disebabkan permasalahan pada jalan cerita dan skrip yang terpaksa dirombak, ia menyebabkan filem tersebut sedikit membosankan.

"Ya... banyak babak yang saya panjangkan bagi mencukupkan masa untuk filem ini, saya akui ia agak bosan," katanya.

Bagaimanapun, jelas Opie, dia gembira menerima reaksi positif daripada penonton dan rakan media selesai pratonton tersebut.

"Ini filem pertama saya sudah tentu rasa berdebar dan takut untuk menerima reaksi penonton tapi dengar ramai yang ketawa tadi saya rasa lega.

"Saya sudah buat yang terbaik mengikut bajet yang diberikan dan jika diikutkan kepuasan pula, saya tidak pernah berpuas hati dengan setiap kerja saya," katanya.

Menyentuh mengenai barisan pelakon dalam filem ini, Opie berkata dia lebih selesa memilih ‘kawan-kawan’ berbanding pelakon yang tidak dikenalinya.

"Barisan pelakon saya pilih 90 peratus adalah kawan-kawan yang saya kenal dan selalu bekerja dengan saya. Ini kerana saya percaya mereka lebih komited berbanding pelakon yang saya tidak pernah bekerjasama.

"Saya percaya mereka ada peminat mereka sendiri dan mampu menarik penonton untuk datang ke panggung," katanya.

Filem genre komedi seram ini mengambil masa selama 25 hari penggambaran dan dilakukan di Lenggong, Perak terbitan 3Line Media.

Ia mengisahkan seorang penduduk kampung bernama Tok Chai yang membela makhluk halus iaitu Hantu Raya. Kehidupan orang kampung berubah selepas Hantu Raya milik Tok Chai mengganggu dan mencari tuan baru selepas kematian Tok Chai.

Antara barisan artis yang membintangi filem ini adalah Saiful Apek, Intan Ladyana, Bokhari, Sathia dan Allahyarham Kuswadinata.

Kecoh! Hantu Raya Tok Chai akan mula ditayangkan di seluruh pawagam bermula 18 April ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan