Gafim Terkilan Penganjuran AIFFA 2013 Ketepikan Persatuan Seni

Diterbitkan: Selasa, 2 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Jurey
Jurey

PETALING JAYA: Persatuan seni di negara ini melahirkan rasa terkilan apabila penganjur Anugerah Festival Filem Antarabangsa Asean 2013 (AIFFA 2013) mengetepikan pihaknya bagi memeriahkan malam kemuncak acara itu yang berlangsung di Kuching, Sarawak, Sabtu lalu.

Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Jurey Latiff Rosli berkata, kekecewaan itu timbul apabila pihak penganjur enggan menyediakan kemudahan logistik kepada pemimpin-pemimpin persatuan termasuklah kemudahan tempat tinggal dan tiket penerbangan bagi menyokong acara berkenaan.

"Mereka ada menghantar surat jemputan untuk kami bersama-sama menyokong acara itu tetapi apabila dihubungi semula untuk bertanyakan mengenai beberapa perkara berkaitan logistik termasuk tiket penerbangan dan tempat penginapan mereka enggan memberi tajaan.

"Saya berasa pelik kerana mereka boleh menampung semua perbelanjaan untuk delegasi daripada negara luar tetapi tidak untuk orang-orang dalam industri sendiri," jelasnya kepada mStar Online di sini pada Isnin.

Dalam acara kemuncak pertandingan yang melibatkan negara-negara Asean itu, Malaysia menerima empat kemenangan iaitu Lakon Layar Terbaik (Bunohan), Filem Komedi Terbaik (Istanbul Aku Datang), Filem Aksi Terbaik (Songlap) dan Aktor Terbaik (Songlap-Shaheizy Sam).

Selain mengiktiraf industri perfileman serantau, AIFFA 2013 turut mengetengahkan Sarawak dan Malaysia sebagai destinasi unik untuk penggiat filem bagi lokasi penggambaran filem mereka terutamanya dari produksi Bollywood dan Hollywood.

Dalam pada itu, Jurey berkata, pihaknya dan beberapa persatuan seni lain mengambil keputusan untuk tidak menghadiri acara tersebut kerana merasakan tindakan pihak penganjur itu seolah-olah menganaktirikan dan memperkecilkan persatuan seni yang diiktiraf oleh kerajaan.

Jelasnya, pihak penganjur sepatutnya memberi layanan seimbang kepada penggiat seni tempatan seperti mana dilakukan kepada delegasi antarabangsa yang ditaja perjalanan dan tempat tinggal mereka bagi menjayakan acara berkenaan.

"Kami di pihak Gafim juga pernah menganjurkan acara festival filem di Sarawak dan semua delegasi yang dijemput disediakan dengan kemudahan logistik bagi memudahkan kedatangan mereka.

"Penganjuran AIFFA sangat bagus dari segi objektifnya dan sebagai orang industri kami menyokong penuh tetapi jemputan mereka kepada kami yang dipandang ringan mengecewakan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Festival AIFFA 2013, Livan Tajang, ketika mengulas mengenai perkara itu berkata, proses pemilihan delegasi daripada Malaysia adalah cadangan daripada Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) bagi memudahkan urusan logistik.

Jelas Livan, sebanyak 35 individu seperti pelakon, pengarah dan penerbit telah dipilih dalam senarai tersebut dan beliau menganggap rungutan yang dibuat itu hanya salah faham.

"Untuk memudahkan proses pemilihan filem-filem dijalankan, AIFFA 2013 perlu berurusan dengan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM).

"Jemputan untuk delegasi Malaysia adalah berdasarkan cadangan daripada PFM termasuk beberapa pelakon yang telah disenaraikan dalam filem-filem yang mengambil bahagian," jelasnya.

Beliau juga turut berterima kasih kepada semua penggiat seni dan persatuan-persatuan yang memberi sokongan penuh kepada kejayaan AIFFA 2013.

Untuk rekod, Gafim dianggotai kira-kira 11 persatuan seni di negara ini melainkan PFM yang bertindak untuk keluar dari gabungan itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan