Atilia Popular Kerana 'Sheila Majid Kedua' Di Indonesia

Diterbitkan: Jumaat, 29 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Atilia. Foto ihsan FAISOL MUSTAFA.
Atilia. Foto ihsan FAISOL MUSTAFA.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Atilia Harun menganggap penerimaan masyarakat Indonesia terhadapnya selepas pelancaran album Indah pada 3 Mac lalu di Indonesia kerana dikaitkan dengan penyanyi tersohor, Datuk Sheila Majid.

Atilia atau nama sebenar Raja Putri Atilia Raja Harun ini berkata, melalui beberapa artikel berita dan previu album yang dibuat oleh media Indonesia, mereka memanggilnya sebagai Sheila Majid kedua

"Alhamdulillah selepas pelancaran itu banyak maklum balas yang positif, banyak juga artikel daripada media Indonesia yang beri komen positif terhadap album Indah.

"Mereka suka kerana genre jaz yang saya tampilkan selain saya turut disamakan dengan Sheila Majid yang sememangnya tidak asing lagi di negara itu," katanya ketika ditemui di sidang media pelancaran jenama Baajookoo, di sini, Khamis.

Jelas Atilia, lagu duet bersama kumpulan Sore berjudul Silly Little Thing mendapat tempat di carta-carta radio di negara jiran itu.

Malah katanya, dia mendapat beberapa undangan nyanyian termasuklah bersama artis Indonesia Andien pada 4 April depan.

"Kalau di Malaysia genre jaz agak kurang diterima, di radio pun jarang sekali kita dengar tetapi orang Indonesia memang menggemari irama seperti itu," katanya.

Sebelum itu, Atilia turut berpeluang mengadakan persembahan di Festival Antarabangsa Java Jazz 2013 yang berlangsung pada 1 hingga 3 Mac lalu.

Katanya, dia berazam untuk membuka jalan kepada penyanyi Malaysia untuk menembusi negara jiran itu menerusi muzik berkenaan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan