Achey Juara Pusingan Pertama 'Bintang Mencari Bintang'

Diterbitkan: Isnin, 25 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Enam peserta Bintang Mencari Bintang yang bertanding.
Enam peserta Bintang Mencari Bintang yang bertanding.

PETALING JAYA: Peserta solo, Achey menjuarai minggu pertama dalam kumpulan A, program Bintang Mencari Bintang(BMB) yang berlangsung pada malam Ahad, dengan markah terkumpul sebanyak 75 peratus.

Markah dikira melalui undian juri profesional, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan juri awam.

Anak didik pelawak, Harun Salim Bachik ini menyampaikan sketsa bertema duit dengan mendendangkan lagu Kau Pergi Tanpa Pesan membawa pulang hadiah alat elektronik, Samson Graphite 49 USB MIDI Controller Keyboard dan Samson SR850 Studio Reference Headphone.

Sementara itu, markah bagi kumpulan Bowl ialah 36 peratus, Tocai (52 peratus), Tapaw (57 peratus), Big Too(52 peratus) dan Kelawak (40 peratus).

Pada malam pusingan pertama ini gelanggang BMB dibuka dengan persembahan sketsa komedi selama tiga minit dan sebuah lagu selama dua minit daripada kumpulan Bowl, Achey, Tocai, Tapaw, Big Too dan Kelawak.

Tampil sebagai peserta yang membuka tirai, Tapaw iaitu anak didik penyampai radio Hot FM, Faizal Ismail mempersembahkan sketsa dan lagu Teman Pengganti. Selepas itu, Tocai (Senario) membuat persembahan mereka yang berkonsep Cari Jodoh.

Pentas BMB dihangatkan lagi dengan gelagat lucu Kelawak (Raja Azura) dalam persembahan sketsa komedi dan nyanyian lagu Alhamdulillah. Kumpulan Big Too (Sabri Yunus) pula menggegarkan studio Sri Pentas 2 dengan konsep persembahan menarik dan lagu Hi Ubat.

Bagaimanapun, sifu kumpulan Bowl iaitu Afdlin Shauki terpaksa ‘meninggalkan’ anak didiknya selama 2 minggu kerana menunaikan umrah telah digantikan dengan pelawak popular Johan (Raja Lawak).

Selain itu, BMB juga menampilkan komposer Ajai untuk menilai aspek nyanyian peserta.

Bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2 di Plaza Alam Sentral Shah Alam pada setiap Ahad pukul 9.00 malam, BMB membariskan enam orang sifu iaitu Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik, Senario, Sabri Yunus, Raja Azura dan Faizal Ismail.

Program yang menyasarkan bakat baru yang berkebolehan dalam kedua-dua bidang iaitu sketsa komedi dan nyanyian, kesemua anak didik dinilai oleh juri tetap, Fauziah Ahmad Daud (Ogy) dan A.R. Badul, barisan juri awam serta jumlah undian SMS daripada orang ramai.

Mereka akan bertanding selama 3 minggu sebelum berdepan dengan sesi penyingkiran pada konsert yang keempat dalam kumpulan masing-masing.

Setiap Sifu mempunyai dua anak didik yang bertanding dalam Kumpulan A dan Kumpulan B. Anak didik akan bersaing selama empat minggu dalam pusingan pertama mengikut kumpulan masing-masing.

Tiga anak didik yang mendapat markah terendah dari setiap kumpulan akan disingkirkan. Manakala enam anak didik yang berjaya ke pusingan seterusnya kemudian akan berentap di pusingan kedua, separuh akhir dan konsert akhir untuk merangkul gelaran juara serta membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM200,000.

iklan

iklan

Produk Berkaitan

Iklan